Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Persembahan yang lebih bertenaga perlu dipamerkan barisan pemain Pahang Rangers FC sekiranya ingin mencatat kemenangan keatas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pertemuan kedua separuh akhir Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor, malam ini.
Pada pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Tertutup SUKPA, di sini, minggu lalu skuad bimbangan jurulatih, Eloy Alonso Fraile menewaskan JDT 4-2 menerusi dua jaringan Felipe de Souza dan masing-masing satu gol oleh Rodrigo Galvao de Silva dan Tuah Eizlan Aminnudin.
Menurut Fraile, corak permainan yang menyerlah perlu ditampilkan oleh barisan pemain sekiranya mereka mengimpikan untuk mencatat kemenangan keatas lawan yang berkelebihan di gelanggang sendiri termasuk sokongan peminat tempatan.
Katanya, kelebihan kemenangan pada pertemuan pertama perlu dikekalkan, corak permainan yang lebih mantap perlu dipamerkan dan pada masa sama tidak terlalu banyak melakukan kesilapan hingga memberi peluang lawan menghasilkan jaringan.
Katanya, pasukan Pahang Rangers tidak boleh mempamerkan corak permainan bertahan hanya kerana berbekalkan kemenangan. Buruan jaringan sepanjang perlawanan sambil memperkemaskan benteng pertahanan perlu diterapkan.
“Saya penuh yakin barisan pemain Pahang Rangers mampu mencatat kemenangan keatas JDT malam ini, untuk melangkah ke pentas final MPFL musim ini bertemu samada Selangor FC atau Terengganu.
“Impian untuk beraksi di pentas final hanya akan menjadi kenyataan sekiranya JDT dapat ditewaskan. Justeru berbekalkan semangat tinggi dan persembahan terbaik serta tidak banyak melakukan kesilapan pasti impian akan menjadi kenyataan,” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, pemain Pahang Rangers kini sudah bersedia untuk berjuang dengan membawa misi kejayaan, bukan mudah untuk menewaskan JDT di gelanggang mereka namun tidak mustahil mereka tewas episod sama berlaku di Kuantan sebelum ini.
“Kelibat penjaring terbanyak MPFL (Felipe de Souza) diharap menjadi senjata berharga buat pasukan sambil dibantu barisan pemain lain bagi merobek gawang lawan.
“Turun dengan misi menewaskan lawan seterusnya melangkah ke final MPFL akan menjadi senjata buat pasukan Pahang Rangers yang kini dahagakan piala kejuaraan,” katanya.
IMedikel TV






