Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: Seramai 80 peserta International Conference on Tropical forest Managemet And Sustainability Tropfofest 2026 berpeluang mengikuti program lawatan ke Kampung Orang Asli Ulu Chemperoh, Janda Baik, di sini kelmarin.
Pada program itu mereka berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti menanam pokok, menyumpit, anyaman rotan dan lawatan tapak semaian projek BuyBack Guarantee.
Urusetia program, Tengku Mohd Ridzuan Tengku Ibrahim berkata, peserta tempatan dan luar negara diberi peluang untuk mencuba setiap aktiviti dengan dibantu masyarakat Orang Asli setempat yang mahir menghasilkan kraftangan rotan.
Katanya, menerusi projek BuyBack Guarantee peserta diberi peluang melawat tapak semaian yang menempatkan pelbagai spesies anak pokok balak, mereka turut berpeluang menabung anak pokok.

“Rata-rata peserta berpuas hati dengan program lawatan yang disertai terutama apabila berpeluang melihat projek BuyBack Guarantee yang dapat menambah pendapatan masyarakat Orang Asli apabila anak pokok yang dihasilkan dijual kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan agensi lain.
“Selepas dua hari dihidangkan dengan pembentangan berkaitan perhutanan dan pelbagai kertas kerja lain, hari terakhir Tropfofest 2026 peserta berpeluang melakukan lawatan ke Kampung Orang Asli Ulu Chemperoh,” katanya, di sini kelmarin.
Turut sama pada program lawatan itu, Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Hutan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Md Zaidey Abdul Kadir.
Program International Conference on Tropical forest Managemet And Sustainability Tropfofest 2026, dirasmikan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar wakil rasmi Menteri Besar Pahang di
di Swiss Garden Hotel Genting Highlands.
Peserta, Dr Siriluck Thammanu dari Royal Forest Department Thailand berkata, selepas selesai membentangkan kertas kerja yang disediakan, pada masa sama turut berpeluang mendengar dan berkongsi pengalaman dengan peserta lain pada program berkenaan.

“Pengalaman pada Tropfofest 2026 yang disertai kali ini akan digunakan dalam usaha memajukan, memulihkan dan membangunkan hutan di Thailand. Hutan dan bentuk muka bumi di Thailand hampir sama dengan hutan di Malaysia.
“Peluang melawat Kampung Orang Asli Ulu Chemperoh menjadi kenangan manis apabila melihat tapak semaian yang diusahakan masyarakat Orang Asli,” katanya.
IMedikel TV






