Home Buletin Semasa RM100,000 DIPERLUKAN BAGI SELAMATKAN NYAWA ALEEYA MIKAYLA

RM100,000 DIPERLUKAN BAGI SELAMATKAN NYAWA ALEEYA MIKAYLA

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Bayi perempuan berusia setahun, Aleeya Mikayla Muhammad Syahir yang menghidap jantung berlubang memerlukan bantuan dana RM100,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan secepat mungkin.

Bapanya, Muhammad Syahir Mohd Nasir, 37, berkata, Aleeya Mikayla merupakan anak sulungnya bersama isteri, Balqis Ahmad Radzi, 30, yang dinanti sejak lima tahun lalu.

Katanya, dalam kegembiraan menyambut cahaya mata pertama, mereka tidak menyangka bahawa puteri kesayangan itu akan menghidap masalah jantung kongenital.

“Ketika kehamilan sudah cukup bulan dan isteri bersedia untuk bersalin, doktor mendapati degupan jantung bayi agak lemah lalu melakukan pembedahan caesarean kecemasan.

“Selepas dilahirkan, Aleeya Mikayla hanya sempat menangis sekali sebelum seluruh tubuhnya bertukar kebiruan akibat kekurangan oksigen.

“Dia segera dihantar ke dalam inkubator untuk diberikan bantuan oksigen,” katanya ketika berkunjung ke pejabat pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare di Padang Lalang, Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Menurutnya, keputusan pemeriksaan di hospital mendapati bayi itu menghidap kecacatan jantung kongenital yang serius, iaitu Tetralogi Fallot (TOF) dan Pulmonary Atresia (PA) yang merupakan penyakit jantung kongenital serius sehingga menyebabkan darah tidak dapat mengalir secara normal ke paru-paru untuk mendapatkan oksigen.

“Ketika baru berusia seminggu, anak saya telah menjalani pembedahan untuk memasukkan stent bagi meluaskan saluran darah yang sempit.

“Dia kemudiannya perlu menjalani rawatan di hospital selama sebulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Ketika dibenarkan pulang, dia masih perlu menggunakan tiub penyusuan dan perlahan-lahan belajar minum susu sendiri.

“Bibir dan kuku jarinya kerap bertukar kebiruan serta disertai sesak nafas sekiranya bermain atau menangis,” katanya lagi.

Tambah Muhammad Syahir, seiring dengan pertumbuhan badan anaknya itu, saluran darah jantung yang sempit tidak lagi mampu memenuhi keperluan tubuhnya.

“Ketika pemeriksaan susulan pada Julai lalu, doktor mendapati keadaannya tidak lagi boleh ditangguhkan dan pembedahan perlu dilakukan dengan secepat mungkin kerana dikhuatiri boleh mengancam nyawa anak saya.

“Doktor memaklumkan bahawa kali ini dia perlu menjalani pembedahan pembaikan jantung, termasuk membuang stent sedia ada, memasukkan saluran jantung buatan serta membina semula laluan aliran darah dari jantung ke paru-paru,” katanya.

Muhammad Syahir berkata, dia buntu apabila tidak mampu menampung kos pembedahan itu yang mencecah RM100,000 sehingga terpaksa merayu bantuan dana daripada orang ramai.

Sementara itu, Pengerusi badan amal, One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu keluarga dari Ipoh, Perak itu bagi mengumpul dana tersebut.

“Bapanya bekerja sebagai anggota polis bantuan dan ibunya seorang suri rumah.

“Mereka hanya berkemampuan menanggung RM20,000 dan memohon bantuan bagi menampung baki RM100,000,” katanya.

Menurut Sui Hau, orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3193433435) atau menerusi lama web onehopecharity.org.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here