Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Pulau Chendol dan Pantai Suri berpotensi diketengahkan sebagai antara tarikan ekopelancongan di kawasan kepulauan Tumpat, menerusi keunikan alam semula jadi yang terdapat di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan berkata, potensi berkenaan boleh terus diteroka dan dikembangkan sebagai salah satu tarikan pelancongan kepulauan di Tumpat.
Menurutnya, kawasan berkenaan menawarkan keindahan alam semula jadi, termasuk laluan pejalan kaki (boardwalk) dan pelantar tinjau yang membawa pengunjung menyusuri kehijauan hutan paya bakau serta pokok nipah.

“Kawasan ini juga mempunyai keunikan tersendiri sebagai lokasi melihat kunang-kunang pada waktu malam,” katanya menerusi laman rasmi beliau.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Floating Market Pulau Suri bersama pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), pegawai Majlis Daerah Tumpat, Ahli Majlis, Imam Masjid Teluk Renjuna serta penghulu pulau.
Menurutnya, lawatan itu bertujuan meninjau potensi pembangunan sektor pelancongan di kawasan kepulauan, khususnya tarikan berasaskan ekopelancongan yang boleh diketengahkan dan dikembangkan pada masa hadapan.
Mohd Adanan berkata, potensi yang ada wajar terus diteroka bagi memberi manfaat kepada masyarakat, selain membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat.
“Insya-Allah, potensi yang ada ini boleh terus diteroka dan diperkembangkan sebagai salah satu tarikan pelancongan kepulauan di Tumpat, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat serta ekonomi penduduk setempat,” katanya.
IMedikel TV






