Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Penguasaan ilmu dan teknologi dalam kalangan graduan perlu sentiasa dipandu iman, akhlak serta integriti supaya kemajuan yang dicapai dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, dalam dunia yang semakin pesat berubah, para graduan perlu terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran serta menggunakan teknologi secara beretika.

“Ilmu perlu dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan, manakala teknologi dimanfaatkan sebagai alat untuk mencapai kemajuan tanpa mengabaikan nilai keimanan dan akhlak.
“Gunakanlah ilmu sebagai cahaya, teknologi sebagai alat, iman sebagai kompas dan akhlak sebagai benteng,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) Kali Ke-8 dan Konvokesyen KTD Cawangan Kuala Lumpur Kali Ke-3 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan Wan Roslan dengan bertemakan “Sinergi Iman dan Teknologi Memacu Peradaban Insani”.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh graduan serta ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban demi kejayaan anak-anak mereka.
Beliau turut menghargai usaha pengurusan, pensyarah dan seluruh warga KTD dalam mendidik serta membimbing para graduan sehingga berjaya menamatkan pengajian.
“Tahniah kepada seluruh graduan serta ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban untuk kejayaan anak-anak.
“Terima kasih kepada pengurusan, pensyarah dan seluruh warga KTD atas usaha mendidik serta membimbing mereka,” katanya.
Wan Roslan berharap ilmu yang diperoleh para graduan mendapat keberkatan Allah SWT serta menjadi panduan untuk mereka terus berbakti kepada agama, negeri dan rakyat.
Sementara itu, KTD turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan selaku penaja utama Majlis Konvokesyen KTD.
KTD turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua graduan Konvokesyen Kolej Teknologi Darulnaim Kali Ke-8.
IMedikel TV






