Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SARAWAK: Seramai 27 individu diperiksa dalam Operasi Bersepadu dan Ops Gempur Pemandu Warga Asing (PeWA) di sepanjang Jalan Kelupu-Gemuan, di sini, pada Jumaat.
Menurut kenyataan JIM Sarawak menerusi laman rasmi, operasi bermula jam 8 pagi itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menerusi Pejabat Imigresen Sarikei dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Operasi berkenaan membabitkan 20 anggota penguat kuasa, terdiri daripada tujuh anggota JPJ, tujuh anggota PDRM dan enam anggota JIM Sarikei.
“Daripada 27 individu yang diperiksa, 24 adalah warganegara Malaysia manakala tiga lagi warganegara asing membabitkan dua lelaki dan seorang perempuan.
“Hasil pemeriksaan, tiada tangkapan dibuat dan tiada laporan polis direkodkan sepanjang operasi berkenaan,” kata JIM
Menurut JIM operasi bersepadu itu adalah sebahagian usaha berterusan agensi penguat kuasa dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Ia turut bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dalam aspek penguatkuasaan serta keselamatan awam,” menurut JIM.
JIM Sarawak memaklumkan pihaknya akan terus memperkasakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan kepentingan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.
IMedikel TV






