Home Buletin Semasa CUBAAN SELUDUP PATI MELALUI SUNGAI KELANTAN GAGAL, LAPAN DITAHAN 

CUBAAN SELUDUP PATI MELALUI SUNGAI KELANTAN GAGAL, LAPAN DITAHAN 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Cubaan menyeludup lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Sungai Kelantan berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan dalam operasi khas di Kampung Pasir Pekah Hilir, Wakaf Bharu, pada 26 September lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, operasi hasil maklumat risikan dan intipan Pasukan Operasi Darat Maritim Negeri Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, kira-kira jam 5.13 pagi, pasukan risikan yang ditempatkan di lokasi strategik berhampiran sungai mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran bergerak laju dalam keadaan bergelap menyusuri Sungai Kelantan.

“Pengesanan dibuat menggunakan peralatan penglihatan malam (night vision) sebelum bot ronda Maritim Malaysia bersama Pasukan Operasi Darat diatur gerak ke lokasi untuk memintas pergerakan bot berkenaan.

“Sekitar jam 6.10 pagi, pasukan operasi berjaya menahan lapan individu disyaki warga Myanmar bersama seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai bertindak sebagai transporter atau tekong darat,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Kamal berkata, daripada lapan PATI yang ditahan, tujuh berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) berwarna putih, manakala seorang lagi berada di luar kenderaan bersama pemandu tempatan berkenaan.

Dalam operasi sama, berlaku pergelutan antara anggota penguat kuasa dengan seorang lagi suspek lelaki yang menaiki motosikal Yamaha Y15.

“Suspek tersebut kemudiannya terjun ke sungai dan melarikan diri menggunakan bot penyeludup yang berada berhampiran lokasi,” katanya.

Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun, terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita warga Myanmar.

“Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat.

“Kesemua tahanan bersama barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan kira-kira jam 12.30 tengah hari bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.

Kamal berkata, kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan memasuki Malaysia melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.

“Maritim Malaysia tegas tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan.

“Kami akan terus memperketat rondaan, pemantauan dan risikan di kawasan perairan serta pesisir pantai berisiko tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut atau pesisir pantai menerusi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 atau talian kecemasan MERS 999.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here