Home Buletin Semasa WARGA EMAS MAUT: POLIS MINTA SAKSI TAMPIL BERKAITAN NAHAS TIGA KENDERAAN

WARGA EMAS MAUT: POLIS MINTA SAKSI TAMPIL BERKAITAN NAHAS TIGA KENDERAAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis meminta mana-mana saksi yang melihat kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di hadapan Masjid Al-Wadi Al-Ismaili, Mukim Tiong, di sini, petang semalam, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu mengorbankan seorang lelaki berusia 70-an yang memandu Perodua Myvi dari arah Pasir Tumboh menghala ke Wakaf Che Yeh.

“Sehubungan itu, polis meminta individu yang melihat kejadian berkenaan supaya tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sharif Mohd Ridhuan Sharif Hassan di talian 09-7752315,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu laju sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebuah Toyota Vios yang diletakkan di bahu jalan.

“Perodua Myvi tersebut kemudian terbabas dan terbalik di tengah jalan, manakala pemandunya tercampak keluar daripada kenderaan dan terjatuh di atas jalan.

“Pada masa sama, sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki Melayu dan bergerak lurus dari arah sama melanggar Myvi berkenaan di bahagian sisi sebelah kanan,” katanya.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, pemandu Myvi berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 petang oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat,” katanya.

Mohd Azmir berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu menerima makluman mengenai kejadian daripada Gerakan Kota Bharu kira-kira jam 6.45 petang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi undang-undang dan isyarat lalu lintas yang berkuat kuasa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here