Home Buletin Semasa JPNP TERIMA RM27,340 BAYARAN PERMIT MASUK TIGA HUTAN SIMPANAN KEKAL DARIPADA PENGANJUR...

JPNP TERIMA RM27,340 BAYARAN PERMIT MASUK TIGA HUTAN SIMPANAN KEKAL DARIPADA PENGANJUR ACARA LARIAN CULTRA 2026

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

CAMERON HIGHLANDS: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menerima bayaran permit memasuki tiga Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebanyak RM27,340 daripada syarikat Bolt 360 Management Sdn. Bhd, di sini semalam.

Syarikat terbabit adalah penganjur acara larian musim kesepuluh Cameron Ultra (CULTRA) 2026 yang membabitkan lima kategori diadakan pada Julai lalu.

Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin berkata, penyerahan replika cek disempurnakan wakil Bolt 360 Management, Mohd Alif Imran Md Faizal kepada Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Harry Yong di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands.

Majlis berkenaan disaksikanTimbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan), Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia,Datuk Roslan Rani.

Menurutnya, bayaran berkenaan adalah sebahagian daripada keperluan pengurusan dan kebenaran bagi pelaksanaan aktiviti yang melibatkan penggunaan laluan serta kawasan hutan simpan kekal di bawah pengurusan JPNP.

“Pada pertandingan CULTRA 2026 yang diadakan waktu malam, peserta perlu berlari memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal Ulu Bertam, Hutan Simpan Kekal Mentigi dan Hutan Simpan Kekal Batu.

“Penganjuran CULTRA 2026 turut memperlihatkan potensi kawasan hutan simpan kekal daerah ini sebagai lokasi aktiviti rekreasi dan sukan lasak yang dapat dilaksanakan secara terancang, bertanggungjawab serta mematuhi peraturan dan ketetapan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menambah, pada masa yang sama aktiviti sukan lasak dan ekopelancongan yang dilaksanakan di kawasan hutan simpan kekal secara terkawal dan mengikut ketetapan yang berkuat kuasa, ia turut berupaya memberi sumbangan kepada hasil kerajaan negeri melalui kutipan permit dan bayaran berkaitan.

Nasrul Akmal berkata, kerjasama antara penganjur dan jabatan juga mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan aktiviti rekreasi dan sukan lasak di kawasan hutan simpan kekal dapat dilaksanakan dengan mengambil kira aspek pematuhan peraturan serta tanggungjawab terhadap khazanah alam semula jadi.

Katanya, kerjasama seumpama ini diharap dapat terus diperkukuhkan pada masa akan datang khususnya dalam penganjuran aktiviti yang menggalakkan gaya hidup sihat, kecergasan dan rekreasi. Acara berkenaan turut dapat meningkatkan penghayatan masyarakat terhadap keunikan serta kepentingan khazanah alam semula jadi di Pahang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here