Home Hiburan NORA PERSOAL TAHAP KESELAMATAN SEKOLAH SUSULAN KEKERAPAN KES BULI

NORA PERSOAL TAHAP KESELAMATAN SEKOLAH SUSULAN KEKERAPAN KES BULI

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, mempersoalkan tahap keselamatan dan kesejahteraan pelajar di sekolah susulan semakin kerapnya kes buli yang dilaporkan kebelakangan ini. 

Menerusi perkongsian di Threads, Nora berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian serius, terutama oleh ibu bapa yang pastinya mahu memastikan anak-anak berada dalam persekitaran selamat ketika di sekolah.

“Sejak kebelakangan ini, kita semakin kerap mendengar tentang kes buli yang melibatkan pelajar sekolah.

“Sebagai ibu bapa, sudah tentu timbul persoalan, sejauh mana anak-anak kita benar-benar selamat apabila berada di sekolah,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Nora berkata, beliau tidak berniat menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung kejadian buli, sebaliknya mahu sistem pengurusan dan pemantauan di sekolah diteliti bagi memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada sekolah kerajaan, sekolah agama, sekolah swasta atau mana-mana institusi tertentu. Kes buli boleh berlaku di mana-mana.

“Tetapi apabila sesuatu kes berlaku, kita perlu melihat sejauh mana pihak sekolah mempunyai sistem pencegahan, pemantauan, pelaporan dan tindakan yang benar-benar berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Nora menegaskan komunikasi antara anak dengan ibu bapa juga penting bagi memastikan sebarang kejadian yang berlaku dapat diketahui dan ditangani lebih awal.

Katanya, anak-anak perlu diberi kefahaman bahawa mereka mempunyai ruang untuk bersuara serta melaporkan sebarang kejadian yang mengancam keselamatan diri tanpa rasa takut.

“Anak-anak juga perlu tahu bahawa mereka boleh bercakap dan melaporkan apa yang berlaku tanpa rasa takut dan terancam.

“Ibu bapa pula perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak dan pihak sekolah.

“Jangan tunggu sehingga anak kita sendiri menjadi mangsa, baru nak ambil cakna,” katanya.

Nora turut berpandangan bahawa usaha memastikan keselamatan pelajar tidak seharusnya diletakkan di bahu satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, sekolah dan pihak berkuasa.

“Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama, ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here