Home Sukan GENTING HIGHLANDS UJI KETAHANAN SEBENAR PELUMBA LTDL 2026

GENTING HIGHLANDS UJI KETAHANAN SEBENAR PELUMBA LTDL 2026

IPOH: Bekas pelumba lebuh raya negara, Musairi Musa menjangkakan pendakian ke Genting Highlands pada Peringkat 5 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, esok, bakal menguji ketahanan fizikal pelumba secara menyeluruh berbanding cabaran Gunung Jerai dan Cameron Highlands.

Memetik laporan Harian Metro, Musairi berkata, pendakian Genting Highlands mempunyai karakter berbeza kerana pelumba perlu berdepan laluan mendaki yang panjang dan mencabar sebelum menuju ke kawasan peranginan itu.

“Kalau Gunung Jerai, ia berbeza kerana pendakian sekitar 12 kilometer (km) dengan ketinggian 971 meter dan bertaraf CAT 1.

“Genting Highlands pula sukar untuk digambarkan perbezaannya. Pendakian ini panjang dan akan menguji pelumba dari awal hingga ke atas,” katanya.

Menurutnya, Peringkat 5 yang bermula dari Tapah sejauh 125.7km itu adalah Queen Stage yang boleh menjadi medan penting untuk melihat kemampuan sebenar pelumba selepas mengharungi beberapa peringkat perlumbaan.

Katanya, bukan sahaja kemampuan mendaki yang menjadi ukuran, malah ketahanan badan, otot, sistem kardiovaskular dan keupayaan pelumba mengurus tenaga sepanjang perlumbaan.

“Pelumba sendiri kena tahu kemampuan badan. Kadang-kadang hari ini nampak sederhana, esok boleh jadi lebih baik.

“Kalau terlalu memaksa diri untuk mencapai tahap maksimum, ia juga boleh menjadi bahaya. Mereka kena tahu keadaan badan sendiri dan bila masa sesuai untuk mencapai kemuncak prestasi,” katanya.

Musairi turut melihat pelumba tempatan mempunyai peluang untuk mencuri tumpuan, khususnya Aiman Zariff (Terengganu Cycling Team), pasangan adik-beradik Tsen Ren Bao (St George Continental Team) dan Tsen Ren Han (Malaysia).

“Ren Bao dan Ren Han pula saya lihat 50-50, tetapi kita boleh nampak prestasi mereka berdua.

“Mereka boleh berada dalam kelompok dua atau tiga terbaik Asia jika mampu mengekalkan prestasi,” katanya.

Musairi menjangkakan saingan akan menjadi semakin terbuka apabila pelumba memasuki bahagian pendakian utama, dengan pelumba yang mempunyai saiz badan dan keupayaan sebagai pendaki mampu mendapat kelebihan.

“Siapa yang kuat mendaki akan mula menyerlah di situ,” katanya yang turut mengakui seorang lagi pelumba Terengganu Cycling Team, Kee Zhe Yie mampu melakukan sesuatu selepas muncul pelumba terbaik Malaysia di pendakian Gunung Jerai, Isnin lalu. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here