Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KEDAH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Kedah mengambil sampel daripada 18 ekor anjing di sekitar kawasan kejadian susulan kes seorang lelaki berusia 31 tahun yang digigit anjing liar atau terbiar di Changlun, Kedah..
DVS Kedah menerima makluman daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah pada 24 September lalu sebelum menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan operasi menangkap anjing liar dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kubang Pasu.
“Sehingga 28 September, sebanyak 18 ekor anjing dari kawasan kejadian dan sekitarnya telah diambil sampel untuk ujian pengesahan rabies.
“DVS Kedah kini masih menjalankan siasatan lanjut serta menunggu keputusan makmal bagi menentukan sama ada terdapat jangkitan rabies dalam kalangan anjing di negeri itu.
“Changlun adalah kawasan dalam lingkungan zon penampan rabies atau immune belt, iaitu kawasan sejauh 50 kilometer dari sempadan Thailand,” kata DVS dalam kenyataan semalam.
Menurut DVS, di kawasan berkenaan, semua anjing bertuan diwajibkan menerima vaksinasi rabies di bawah Akta Binatang 1953 sebagai langkah mengurangkan risiko penularan penyakit berkenaan ke kawasan lain.
“Sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 504 ekor anjing bertuan di daerah Kubang Pasu dan 1,349 ekor di seluruh Kedah telah menerima suntikan vaksin rabies,” menurut DVS.
Dalam perkembangan sama, DVS Kedah meneruskan program survelan rabies di semua daerah dengan 164 sampel telah diuji sehingga Ogos lalu dan kesemuanya didapati negatif rabies.
“Rabies atau penyakit anjing gila menyerang sistem saraf dan boleh membawa maut.
“Antara tanda anjing dijangkiti rabies termasuk perubahan tingkah laku seperti menjadi agresif atau terlalu jinak, gelisah, mengasingkan diri, menyalak atau menggigit tanpa provokasi, lemah, hilang koordinasi pergerakan, sukar menelan, air liur berlebihan, lumpuh dan akhirnya mati,” kata DVS.
DVS menasihati orang ramai supaya tidak mendekati, menyentuh atau mengendalikan anjing liar, anjing sakit atau haiwan yang menunjukkan perubahan tingkah laku luar biasa.
Orang ramai juga diminta segera melaporkan kewujudan anjing liar yang sakit, agresif, lesu, lumpuh atau mati secara luar biasa kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran.
“Sekiranya digigit atau dicakar anjing atau haiwan lain yang disyaki membawa rabies, luka perlu dicuci menggunakan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan.
“Mangsa juga perlu memaklumkan kepada petugas kesihatan mengenai kejadian gigitan berkenaan dan melaporkannya kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran bagi membolehkan siasatan serta tindakan susulan dijalankan.
“Pemilik anjing pula dinasihatkan memastikan haiwan peliharaan menerima vaksinasi rabies mengikut arahan DVS dan tidak dilepaskan berkeliaran,” kata DVS.
DVS Kedah turut meningkatkan pemantauan dan pensampelan di kawasan bersempadan dengan Thailand bagi memastikan tiada penularan rabies di negara ini.
Sebarang maklumat atau laporan di Kedah boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Lapangan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kubang Pasu di talian 04-916 2207 atau Pusat Operasi Negeri di 04-702 5336.
Bagi kawasan di luar Kedah, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau talian hotline DVS di 03-8870 2041.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu, meninggal dunia pada Ahad lalu selepas disahkan dijangkiti rabies.
IMedikel TV






