Home Buletin Semasa JPJ TAK KOMPROMI WARGA ASING PANDU TANPA LESEN, PEMILIK TURUT DIKENAKAN TINDAKAN

JPJ TAK KOMPROMI WARGA ASING PANDU TANPA LESEN, PEMILIK TURUT DIKENAKAN TINDAKAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak menyewakan atau membenarkan kenderaan mereka digunakan warga asing yang tidak mempunyai dokumen dan lesen memandu sah.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja dikenakan terhadap pemandu warga asing, malah turut membabitkan pemilik kenderaan yang membenarkan kenderaan mereka digunakan.

Menurut beliau, JPJ kini mengambil pendekatan lebih tegas dengan memanggil kedua-dua pemandu dan pemilik kenderaan untuk tindakan lanjut.

“Bagi kes tertentu, kedua-dua pihak tidak lagi dibenarkan menyelesaikan kesalahan melalui bayaran kompaun, sebaliknya kes akan dibawa ke mahkamah.

“Langkah itu penting bagi membendung amalan segelintir rakyat tempatan yang menyewakan kenderaan kepada warga asing, termasuk motosikal, untuk mendapatkan keuntungan,” katanya pada sidang media semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata JPJ turut memberi perhatian terhadap penggunaan kenderaan perdagangan seperti lori dan bas yang dipandu warga asing.

Muhammad Kifli berkata, majikan atau syarikat pengangkutan tidak sepatutnya menggaji warga asing sebagai pemandu lori atau bas kerana mereka tidak boleh memegang Lesen Kenderaan Barangan (GDL) atau Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) mengikut ketetapan undang-undang Malaysia.

Menurutnya, JPJ juga sudah memulakan proses penyitaan dan lucut hak terhadap lori serta bas yang dipandu warga asing sejak tiga bulan lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu warga asing menggunakan kenderaan di jalan raya turut berkait dengan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang menyewakan atau membenarkan kenderaan mereka digunakan warga asing.

Katanya, berdasarkan risikan JPJ, motosikal termasuk motosikal roda tiga disewakan kepada warga asing pada kadar antara RM50 hingga RM200, bergantung kepada keadaan dan kegunaan kenderaan.

“Bagi tempoh 2024 hingga 2026, JPJ merekodkan sebanyak 481,190 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan jalan raya.

“Jumlah itu merangkumi 183,371 saman pada 2024, 191,676 saman pada 2025 dan 106,143 saman sehingga tempoh terkini pada 2026.

“Kesalahan tertinggi direkodkan ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 121,832 kes, diikuti LKM tamat tempoh sebanyak 50,000 kes dan tiada insurans sebanyak 43,299 kes.

“Muhammad Kifli berkata, JPJ kini mengambil pendekatan lebih tegas dengan membawa kes membabitkan pemandu warga asing serta pemilik kenderaan ke mahkamah, selain tindakan sitaan terhadap kenderaan yang melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau turut menegaskan JPJ tidak pernah membenarkan etnik Rohingya memiliki lesen memandu di Malaysia.

Katanya, warga asing yang memenuhi syarat dan mengikut prosedur ditetapkan boleh mendapatkan lesen memandu, namun perkara itu tidak terpakai kepada etnik Rohingya.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada JPJ sekiranya mengetahui warga asing menggunakan kenderaan tanpa kelayakan atau dokumen sah, dan menyerahkan tindakan penguatkuasaan kepada agensi berkaitan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here