Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Bukan sekadar motosikal dan kenderaan biasa, warga asing termasuk etnik Rohingya turut dikesan memandu kenderaan mewah, termasuk BMW 525 dan Toyota Land Cruiser.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, perkara itu dikesan menerusi operasi penguatkuasaan JPJ terhadap kenderaan mewah yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
“Sebuah BMW 525 dikesan dipandu seorang lelaki Rohingya berusia 36 tahun di Pasir Hor. Kereta itu dibeli daripada warga tempatan, etnik Rohingya memang tidak boleh memiliki kenderaan, jadi kami sita BMW tersebut.
“Bagi BMW 525 berkenaan, pemeriksaan mendapati kenderaan itu tidak mempunyai LKM dan perlindungan insurans yang sah, selain pemandunya tidak memiliki lesen memandu.
“Manakala sebuah Toyota Land Cruiser pula dipandu seorang warga Bangladesh berusia 51 tahun yang mempunyai status pemastautin tetap. Kenderaan dianggarkan bernilai RM 780,000 itu disita pada 20 September lalu di Tunjong dan didapati mempunya kesalahan termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” katanya pada sidang media semalam.
Muhammad Kifli berkata, tindakan tegas tetap diambil terhadap mana-mana kenderaan tanpa mengira jenama, harga atau status pemilikan sekiranya didapati melanggar undang-undang jalan raya.
Beliau berkata, penguatkuasaan menerusi Op Luxury akan diteruskan secara berfokus di seluruh negara bagi memastikan semua kenderaan yang digunakan di jalan raya mematuhi peruntukan undang-undang.
Tegasnya, pemilik kenderaan bertanggungjawab memastikan kenderaan dan pemandu mempunyai dokumen sah serta memenuhi semua syarat sebelum digunakan di jalan raya.
Secara keseluruhan, JPJ telah menyita 3,790 kenderaan mewah menerusi Op Luxury dari Jun 2025 hingga Sabtu lalu, dengan kesalahan utama membabitkan kegagalan memperbaharui cukai jalan dan insurans, selain tiada lesen memandu serta pelbagai kesalahan teknikal.
IMedikel TV






