Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Bermula sekadar ingin mencuba kerana terpengaruh dengan rakan sekolah, namun akhirnya membawa seorang remaja terjerumus dalam kancah penagihan dadah sehingga memerlukan bekalan bahan terlarang itu setiap hari.
Ani, 27, bukan nama sebenar, berkata dia mula mengenali dadah ketika berusia 17 tahun dan masih menuntut di Tingkatan Lima.
Menurutnya, pengaruh rakan serta tekanan keluarga menyebabkan dirinya terjebak, sebelum ketagihan semakin serius hingga menjejaskan kehidupan dan masa depannya.
“Saya mula kenal dadah pada usia 17 tahun ketika belajar di Tingkatan Lima. Pada awalnya hanya ingin mencuba, tetapi akhirnya menjadi ketagih dan memerlukan bekalan setiap hari.
“Impian untuk berjaya dalam pelajaran juga tidak menjadi kenyataan, sekali gus menambahkan tekanan sehingga saya semakin aktif menagih secara individu dan berkumpulan di beberapa lokasi sekitar FELDA Jengka, Maran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Lebih memburukkan keadaan, campur tangan bapa dan abangnya yang turut terbabit dengan dadah turut mempengaruhi dirinya untuk terus berada dalam kancah penagihan.
Ani berkata, pada 2019, dia ditangkap sebelum ditempatkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, Kelantan selama 17 bulan untuk menjalani program pemulihan termasuk didikan agama.
Bagaimanapun, selepas dibebaskan, dia hanya mampu bertahan beberapa bulan sebelum kembali terjebak dengan dadah akibat pengaruh rakan.
“Selepas dibebaskan, saya hanya mampu bertahan beberapa bulan untuk meninggalkan dadah, namun selepas itu bahan terlarang itu kembali singgah dalam hidup saya hanya kerana mengikut rakan.
“Abang saya juga seorang penagih dan pengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan FELDA Jengka. Untuk mendapatkan sumber kewangan, saya turut terbabit menjual bahan terlarang itu,” katanya.
Namun, pepatah ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’ menjadi titik perubahan dalam hidupnya apabila dia ditangkap tahun lalu kerana kesalahan berkaitan penagihan dadah.
Ani kemudian dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan menjalani hukuman di Penjara Bentong, Pahang.
Menurutnya, tempoh berada di sebalik tirai besi memberi keinsafan serta membuka ruang untuknya menilai semula kehidupan yang dilalui selama ini.
“Saya kini bebas dan akan memulakan kehidupan baharu. Peluang dibebaskan lebih awal menambahkan lagi semangat saya untuk kembali ke pangkal jalan dan membina masa depan lebih bermakna tanpa dadah yang memusnahkan hidup saya sebelum ini.
“Didikan agama sepanjang berada di Penjara Bentong diharap menjadi benteng kuat untuk saya melupakan terus dadah,” katanya.
Sementara itu, Adila, 50, bukan nama sebenar, turut melalui pengalaman hampir sama apabila terjebak dengan penagihan dadah kira-kira lima tahun lalu.
Malah, ibu kepada 11 cucu itu sudah dua kali keluar masuk Penjara Bentong sebelum akhirnya bertekad meninggalkan kehidupan tersebut.
Menurutnya, dua abangnya turut terjebak dengan dadah dan kedua-duanya meninggal dunia akibat bahan terlarang berkenaan.
“Saya dan dua abang menjadi penagih dadah, malah dua abang saya meninggal dunia kerana dadah.
“Saya kini insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lalu yang begitu memalukan. Saya menerima hukuman penjara lapan bulan kerana menagih dadah dan dibebaskan lebih awal, sekali gus membuka peluang untuk saya membina kehidupan baharu yang lebih bermakna,” katanya.
IMedikel TV






