Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kekal tegas menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syarak dan prinsip akidah Islam, termasuk unsur yang dikaitkan dengan New Age Movement (NAM).
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee menerusi kenyataan memaklumkan, isu berhubung NAM yang turut dikaitkan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu sudah diberi perhatian serius dan melalui proses siasatan menyeluruh.
“Penelitian dilakukan berdasarkan disiplin ilmu dengan penglibatan autoriti yang bersesuaian bagi mendapatkan gambaran serta penjelasan berhubung perkara yang dibangkitkan.
“Sesi pertemuan dan tabayyun turut diadakan bersama Timbalan Menteri berkenaan bagi mendapatkan penjelasan secara langsung,” katanya.
Beliau berkata sesi itu turut membabitkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM serta pihak berkaitan bagi memastikan isu berkenaan diteliti dari sudut disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.
“Hasil pertemuan tersebut, beberapa teguran, nasihat dan panduan telah diberikan termasuk berkaitan kandungan dan pengisian program yang telah dijalankan serta pendekatan yang digunakan dan mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah,” katanya.
Katanya JAKIM turut menegaskan sebarang kandungan atau pendekatan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan terhadap akidah perlu diperbetulkan dan dimurnikan.
“Pada masa sama, pengisian berkaitan agama hendaklah sentiasa berasaskan disiplin ilmu Islam serta pandangan pihak berautoriti.
“JAKIM juga menyeru masyarakat supaya tidak membuat sebarang kesimpulan berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks,” katanya.
JAKIM menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan amanah dalam memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah dan berasaskan ilmu serta autoriti agama.
IMedikel TV






