Home Buletin Semasa REMAJA PEREMPUAN 13 TAHUN LEMAS DI LATA TUJUH

REMAJA PEREMPUAN 13 TAHUN LEMAS DI LATA TUJUH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditemukan lemas selepas operasi pencarian dijalankan di kawasan Air Terjun Lata Tujuh, Pasir Puteh, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.33 petang sebelum sepasukan anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 6.29 petang dan mendapati benar berlaku kejadian mangsa lemas di kawasan air terjun berkenaan.

“Operasi pencarian dijalankan dengan kaedah selaman (skin dive) selain menggunakan peralatan grappling iron bagi mengesan kedudukan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hasil operasi berkenaan, mangsa yang berasal dari Melor, Kelantan, berjaya ditemukan oleh anggota penyelamat.

Azhar Elmi berkata, kawasan pencarian dianggarkan berkeluasan 4.6 meter (m)  dengan kedalaman air kira-kira 4.6m.

“Operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu dikawal pada jam 7.11 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.59 malam,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here