JAKARTA: Sebanyak 52 mayat ditemukan pasukan penyelam setakat ini daripada feri yang terbalik dalam keadaan laut bergelora di Indonesia awal bulan ini, lapor Independent.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Feri Virgo Transport 8 dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan di pulau Borneo membawa 243 penumpang dan anak kapal ketika membuat panggilan kecemasan pada 13 September lalu.
Dalam panggilan itu, feri berkenaan melaporkan kapal berkenaan senget dalam keadaan laut bergelora dengan ombak mencapai tiga meter (m).
Pihak berkuasa kemudian mengetahui feri berkenaan terbalik di perairan kepulauan Masalembo di Laut Jawa.
Menurut pegawai, pasukan penyelamat menemukan 108 mangsa yang terselamat dalam tempoh beberapa jam selepas kejadian itu, namun 83 orang masih hilang.
Bagaimanapun, penyelam menemukan banyak mayat selepas memecahkan tingkap feri di bawah air untuk memasuki kapal berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Mohammad Syafii pada Jumaat memaklumkan, semua sumber yang ada sudah dikerahkan untuk operasi mencari mangsa.
“Keutamaan utama kami adalah mencari mangsa yang hilang dan memberikan kepastian kepada keluarga mereka,” katanya.
Difahamkan, agensi itu masih merancang untuk mengeluarkan feri berkenaan dan menarik bangkai kapal dari kedalaman kira-kira 30 m.
Mayat yang ditemukan dibawa ke hospital polis di Banjarmasin untuk dikenal pasti sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Indonesia adalah negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dengan feri menjadi antara kaedah pengangkutan yang biasa digunakan.
Bencana sering berlaku dan kerap dipersalahkan kepada penguatkuasaan keselamatan yang lemah. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






