Home Buletin Semasa ANAK MUDA BUKAN SEKADAR PEWARIS MASA DEPAN TAPI ASET PENTING NEGARA

ANAK MUDA BUKAN SEKADAR PEWARIS MASA DEPAN TAPI ASET PENTING NEGARA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Golongan remaja bukan sekadar pewaris masa depan, malah merupakan aset penting negara yang mampu memainkan peranan membangunkan masyarakat pada masa kini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, justeru golongan muda perlu diberi ruang dan peluang untuk membangunkan potensi diri menerusi pelbagai program yang dapat membentuk kepimpinan, sahsiah, jati diri dan semangat kesukarelawanan.

“Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) menjadi antara platform penting dalam melahirkan remaja yang seimbang, bukan sahaja dari aspek akademik, malah kepimpinan, kecergasan, kemahiran dan khidmat masyarakat.

“ARPRM adalah satu platform yang sangat baik dalam membentuk remaja yang seimbang dari aspek kepimpinan, sahsiah, kecergasan, kemahiran, khidmat masyarakat dan jati diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Rakan Ekspresi: Majlis Pentauliahan ARPRM Tahap Perak dan Gangsa Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd saipuddin Zakaria dan Timbalan Pengarah (Sukan) Negeri Kelantan, Hazri Nizam Zakaria.

Siti Norina berkata, pentauliahan yang diterima peserta bukan sekadar pengiktirafan melalui sijil, sebaliknya mencerminkan usaha, kesungguhan, disiplin dan komitmen mereka sepanjang mengikuti program berkenaan.

“Pencapaian itu turut lahir daripada proses pembelajaran, latihan, kerja berpasukan, aktiviti kesukarelawanan serta keberanian peserta mencuba sesuatu yang baharu.

“Pengalaman sepanjang menyertai ARPRM juga mampu menjadi bekalan berharga dalam pembentukan karakter dan kepimpinan peserta pada masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru penerima anugerah supaya tidak menganggap pentauliahan yang diterima sebagai titik akhir, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.

Katanya, golongan muda perlu terus belajar, berani mencuba, menghormati orang lain dan tidak takut untuk memimpin, selain memanfaatkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh bagi membantu rakan sebaya, keluarga, komuniti dan negara.

Dalam pada itu, Siti Norina berkata, negara memerlukan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri yang kukuh, daya tahan tinggi, berintegriti, berdisiplin dan mempunyai semangat kesukarelawanan.

Beliau turut berharap penerima ARPRM mampu menjadi contoh dan inspirasi kepada remaja lain di negeri ini, selain membuktikan keupayaan anak muda Kelantan untuk menjadi generasi berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, pemimpin bertauliah, jurulatih, fasilitator, urus setia serta semua pihak yang menjayakan pelaksanaan ARPRM di peringkat negeri.

Penghargaan turut ditujukan kepada ibu bapa dan penjaga yang memberikan sokongan, dorongan serta kepercayaan kepada anak-anak untuk menyertai program pembangunan belia.

“Sokongan keluarga, bimbingan guru, pemimpin dan masyarakat penting dalam memperkukuh pembangunan serta kejayaan golongan muda,” katanya.

Beliau berharap kerjasama semua pihak terhadap agenda pembangunan belia terus diperkasakan bagi memberi lebih banyak ruang, peluang dan kepercayaan kepada anak muda di Kelantan untuk menyerlahkan bakat serta potensi masing-masing.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here