Walaupun babak lakonannya menerusi episod pertama drama bersiri popular Kudrat 1968: High Council berjaya mencuit hati penonton, pelakon baharu Chech Harith atau nama sebenarnya Che Harith Nazhan Che Rosli, 23, tidak mahu dirinya terlalu selesa distereotaipkan sebagai pelakon komedi sahaja.
Memetik laporan Harian Metro, sebaliknya, pelakon muda ini mengakui terbuka dengan sebarang tanggapan penonton terhadap pembawaan wataknya sebagai Mazli, namun tetap menyimpan impian besar untuk menerokai watak yang lebih meluas pada masa hadapan.
“Saya sebenarnya tidak kisah dan okey sahaja dengan label pelakon komedi. Namun sebagai seorang pelakon, saya mahu meneroka lebih banyak ‘range’ lakonan dan tidak berhasrat untuk sekadar bertahan dengan watak komedi sahaja,” katanya.
Berkongsi pengalaman membawakan watak Mazli, Chech berkata proses menghidupkan karakter itu agak mudah kerana dia banyak ‘mencuri’ gelagat dan perangai rakan-rakan sekeliling untuk dijadikan rujukan lakonannya.
Bagaimanapun, menurut pelakon yang mempunyai latar belakang aktif dalam dunia teater sejak berusia 19 tahun ini, tugas mewujudkan keperibadian watak yang disenangi penonton satu cabaran yang tersendiri.
“Sesuatu yang perlu dibentuk sendiri adalah bagaimana mahu membuatkan watak itu disukai. Kita tidak boleh meniru sesiapa kerana kita sendiri perlu merasai benda itu dan selesa menjadi watak berkenaan.
“Apabila watak itu mula mendapat maklum balas positif dan tawa penonton, saya amat berterima kasih. Untuk membuatkan penonton ketawa itu bukan satu tugas mudah berbanding membuatkan mereka menangis,” katanya.
Mengulas mengenai perbandingan yang dibuat oleh sebilangan penonton antara wataknya dengan karakter Ayam lakonan Naim Daniel menerusi karya terdahulu, Chech menyifatkan perbandingan itu sebagai satu bentuk penghormatan buat lakonan sulungnya di skrin televisyen.
“Sejujurnya, untuk dibanding-bandingkan dengan Naim Daniel dari segi pembawaan watak adalah satu penghormatan besar buat saya dan saya rasa sangat dihargai.
“Mungkin ada persamaan daripada segi gaya bercakap yang ceroteh dan peramah, tetapi karakter Mazli mempunyai sisi tersendiri yang akan lebih tertonjol dalam episod-episod seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Chech turut berkongsi cabaran yang pernah dihadapi oleh pelakon baharu sepertinya ketika menghadiri pelbagai sesi ujian bakat.
Jelasnya, jumlah pengikut di media sosial sering kali menjadi antara kekangan utama untuk nama seseorang pelakon itu diterima oleh pihak klien.
“Sebelum ini saya pernah gagal beberapa sesi uji bakat disebabkan jumlah pengikut media sosial yang tidak ramai. Namun saya anggap itu bukanlah masalah kerana ia sebahagian daripada keperluan industri masa kini.
“Kita perlu terima hakikat bahawa pengikut media sosial kini sudah jadi sebahagian daripada nilai tugasan seorang pelakon. Jadi kita pun kena ambil perhatian terhadap perkara itu,” katanya.
Walaupun mengakui belum bersedia sepenuhnya menghadapi gelombang populariti dan limpahan peminat selepas tayangan drama berkenaan, Chech berjanji akan terus memberikan persembahan yang terbaik.
“Saya tidak menjangkakan akan menerima ramai peminat. Tetapi jika perkara itu berlaku, saya sangat berterima kasih atas sokongan semua. Apa yang penting, jangan paksa diri untuk meminati seseorang kerana itu tidak sihat,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






