Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Seorang wanita maut manakala suaminya dan empat anak mereka cedera selepas Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Tengku Ziarulwida Tuan Zainudin, 39, yang juga isteri kepada pemandu Perodua Alza, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati Perodua Alza yang dipandu Mohd Saifulzawawi Ghani, 39, dari arah Rantau Panjang menghala ke Panglima Bayu dipercayai memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan Toyota Hilux yang dipandu Che Ibrahim Che Min, 48, yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk tindakan lanjut dan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Mohd Saifulzawawi mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Zon Merah hospital berkenaan.
Beliau berkata empat anak pasangan itu yang turut berada dalam kenderaan sama turut cedera, dengan dua daripadanya dilaporkan parah dan menerima rawatan di Zon Merah, manakala dua lagi dirawat di Zon Kuning.
“Pemandu Toyota Hilux pula mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
IMedikel TV






