Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
PASIR MAS: Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan menerusi Persatuan Sains Pergigian, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) melaksanakan program Sawadee Smiles bagi memperkasa kesihatan oral dalam kalangan komuniti Siam di Pasir Mas, dengan memberi tumpuan kepada kanak-kanak, guru dan komuniti setempat.
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti) PPSG, Dr. Norhayati Yusop berkata, program berkenaan menggabungkan pendekatan pendidikan, pencegahan dan pemindahan ilmu bagi mewujudkan amalan penjagaan kesihatan oral yang berterusan dalam komuniti.
Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna dan Sekolah Bahasa Thai Wat Uttamaram itu merangkumi ceramah kesihatan pergigian, latihan Training of Trainers (ToT) untuk guru, demonstrasi dan latihan memberus gigi, aktiviti pendidikan interaktif, saringan pergigian serta pameran kesihatan.

“Pendekatan ToT membolehkan guru memperoleh pengetahuan dan kemahiran untuk meneruskan pendidikan kesihatan oral kepada kanak-kanak secara berterusan, sekali gus memperluaskan impak program kepada komuniti.
“Selain itu, saringan pergigian yang dijalankan membantu mengenal pasti masalah kesihatan oral pada peringkat awal serta memberikan panduan berkaitan rujukan dan tindakan susulan yang diperlukan,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, program tersebut turut menekankan aspek kelestarian melalui penyediaan Wat-Based Toothbrushing Station, kemudahan sinki dan mural bertemakan kesihatan oral, di samping pembangunan modul pendidikan dalam Bahasa Thai dan Bahasa Melayu.
Menurutnya, dalam usaha menggalakkan amalan penjagaan gigi yang konsisten, kit penjagaan oral turut diagihkan kepada peserta.
“Program Sawadee Smiles mendapat sokongan pendanaan daripada My Starfish Foundation dan Malaysian Social Entrepreneurs Foundation (MSEF).
“Inisiatif ini diharap dapat memperluaskan manfaat pendidikan dan pencegahan kesihatan oral kepada komuniti Siam secara berterusan melalui pembangunan kapasiti guru dan komuniti, khususnya dalam membentuk amalan penjagaan gigi yang baik dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
IMedikel TV






