Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengurangkan beban tugas guru masih belum memberi impak besar seperti diharapkan warga pendidik.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, meskipun terdapat usaha dilaksanakan kementerian, kesannya setakat ini masih dalam skala yang agak kecil.
Menurutnya, NUTP mengharapkan KPM menubuhkan jawatankuasa khas yang benar-benar aktif bagi mengkaji secara menyeluruh isu beban tugas guru.

“Jawatankuasa berkenaan perlu turun padang ke sekolah pedalaman, pinggir pantai dan bandar bagi melihat sendiri cabaran yang dihadapi guru, khususnya dari aspek kemudahan dan jurang digital.
“Kalau saya boleh sebut sebagai penderitaan yang dialami oleh guru-guru, terutamanya di kawasan-kawasan yang agak jauh daripada kemudahan.
“Dari segi jurang digitalnya begitu jauh berbanding dengan sekolah-sekolah yang ada kemudahan ini, khususnya di bandar macam di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Di Antara NUTP Malaysia dan Batik Air Malaysia di Hotel Perdana di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, NUTP menghargai usaha KPM dalam mengurangkan beban tugas guru, namun langkah yang dilaksanakan masih belum mencapai skala yang diharapkan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata NUTP masih menunggu kenyataan rasmi secara bertulis daripada KPM berhubung Dokumen Aku Janji Polisi Perlindungan Murid
Katanya, walaupun Ketua Pengarah Pendidikan sebelum ini membuat kenyataan secara lisan bahawa aku janji berkenaan tidak wajib ditandatangani, guru masih menunggu penjelasan rasmi daripada kementerian.
“Kita nak menyatakan secara bertulis bahawa menandatangani Aku Janji bagi Polisi Pelindungan Murid itu adalah bukan bersifat wajib dan itu sebenarnya sedang ditunggu-tunggu oleh guru-guru di negara kita,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata kerjasama NUTP bersama Batik Air turut memberi nilai tambahan kepada lebih 230,000 ahli kesatuan berkenaan.
Menurutnya, guru yang menggunakan perkhidmatan Batik Air bagi perjalanan mereka bakal menikmati kemudahan potongan harga menerusi kerjasama berkenaan.
Beliau berkata NUTP sebelum ini turut mengadakan pelbagai program kerjasama dengan syarikat lain, yang memberi manfaat kepada ahli dan rakan strategik.
“Kita mengharapkan dengan adanya kemudahan ini akan menarik lebih ramai lagi guru untuk menjadi ahli-ahli NUTP,” katanya.
IMedikel TV






