Home Buletin Semasa TIGA LELAKI DITAHAN KENCING DI TEPI LEBUH RAYA

TIGA LELAKI DITAHAN KENCING DI TEPI LEBUH RAYA

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 36 tahun ditahan selepas video mereka membuang air kecil di tepi Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik (EDL), di sini tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait, berkata pihaknya menerima laporan berhubung video berkenaan kira-kira jam 6.11 petang, selepas anggota polis melihat hantaran yang dimuat naik di media sosial pada kira-kira jam 2 pagi hari sama.

Katanya bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan ketiga-tiga suspek kira-kira jam 9.30 malam hari terbabit.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sebuah restoran di Taman Maju Jaya, di sini.

“Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Swie Chait berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan terus kepada IPD Johor Bahru Selatan menerusi talian hotline 07-218 2323,” katanya.

Sebelum itu, video berdurasi 16 saat memaparkan perbuatan ketiga-tiga lelaki sedang membuang air kecil di tepi jalan dengan MPV berkenaan berada di sebelah mereka tular di Facebook.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here