Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan pengampunan Perdana Menteri keenam itu adalah hak milik mutlak Yang di-Pertuan Agong dan tidak wajar dipertikaikan.
“Sama ada Najib lepas, tak lepas, itu soal lain.
“Ini soal kedudukan penyatuan orang Melayu supaya kita dapat jaga kepentingan dan kuasa politik Melayu.
“Soal DAP, terserah pada dia, apa mesej dia nak beri. Ada yang nak letak jawatan, parti tak letak jawatan, itu terserah. Tapi nak kata suka, dia suka tak suka keputusan tu, soal lain. Tapi jangan pertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Felda Air Tawar 2 di sini hari ini.
Menurut beliau, UMNO tidak boleh dipersalahkan dengan pengampunan bersyarat kerana ianya hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Katanya pengampunan bersyarat Najib juga tiada kaitan dengan Pilihan Raya atau mendapatkan mandat rakyat.
“Agong tak putuskan, UMNO diam. Agong putuskan, kita terima kasih. Itu saja.
“Jadi kena faham. Jangan persalahkan ataupun jangan kata ini mesti salahkan UMNO, tak. UMNO tentunya gembira kerana UMNO, Datuk Seri Najib pernah memimpin, pernah menjadi Presiden,”katanya.
Dalam perkembangan tabung soladiriti terhadap Najib yang mendapat kecaman, Mohamed Khaled berkata mustahil UMNO boleh mengumpul jumlah besar RM50 juta.
Bagaimanapun katanya itu menunjukkan UMNO bersimpati dan berusaha membantu.
“Ya, itu nak tunjukkan, takkanlah UMNO, UMNO mungkin takkan capai sampai RM50 juta, tapi sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa UMNO bersimpati.
“Jumlah itu sangat-sangat besar, tak mudah untuk (dikumpul) itu adalah apa yang kita mampu buat,”katanya.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berhubung keputusan pengampunan Najib.
IMedikel TV






