Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Di sebalik kecemerlangan akademik dan impian besar untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM), seorang anak muda dari Kampung Talak, di sini, berdepan cabaran kewangan yang menguji harapannya untuk mengejar masa depan.
Nur Shafiqah Syamimi Zainudi, 20, menerima tawaran mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Linguistik Melayu di UM selepas mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Namun, kegembiraan itu kini bercampur kebimbangan apabila Shafiqah perlu menyediakan RM1,140 bagi yuran pendaftaran sebelum melapor diri pada 26 September ini.
“Saya mahu meneruskan pengajian dan mengejar impian menggenggam segulung ijazah, tetapi keadaan kewangan keluarga menjadi cabaran untuk saya melangkah ke universiti,” katanya.
Ibunya, Rosmawati Mohamed, 45, yang hanya memperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan hasil menjual mee celup di bawah rumah mereka, mengakui tidak mampu menyediakan jumlah berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Bukan saya tidak mahu membantu, tetapi kemampuan yang ada terlalu terbatas. Pendapatan sekitar RM500 sebulan hanya cukup untuk meneruskan kehidupan dan menyara keluarga,” katanya.
Lebih mencabar, suami Rosmawati yang kini berusia 70 tahun tidak lagi mampu bekerja selepas mengalami komplikasi kencing manis kronik.
Rosmawati mempunyai dua anak, termasuk seorang lagi anak berusia 16 tahun yang masih bersekolah menengah.
Kehidupan serba sederhana itu bagaimanapun tidak pernah mematahkan semangat Nur Shafiqah Syamimi untuk mencipta masa depan lebih baik buat dirinya dan keluarga.
Tawaran melanjutkan pengajian ke UM dilihat sebagai peluang besar untuk Nur Shafiqah Syamimi mengubah nasib keluarga, selain merealisasikan impiannya menggenggam segulung ijazah.
“Bantuan walaupun sedikit sangat bermakna buat saya kerana ia boleh menjadi jambatan untuk saya melangkah ke Universiti Malaya dan mengejar cita-cita,” katanya.
Namun, selain yuran pendaftaran, Nur Shafiqah Syamimi turut memerlukan sebuah komputer riba, kelengkapan diri serta keperluan asas lain bagi memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.
Dalam keadaan pendapatan keluarga yang amat terbatas, keperluan tersebut menjadi satu beban besar buat ibunya.
Sehubungan itu, Koordinator 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie mengajak orang ramai yang berkemampuan untuk bersama-sama membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

“Sumbangan walaupun kecil amat bermakna buat Nur Shafiqah Syamimi kerana ia mampu membuka ruang untuknya meneruskan pengajian dan mengejar cita-cita yang selama ini diimpikan,” katanya.
Bagi orang ramai yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan melalui Yayasan Raja Shamri, Bank Rakyat dengan nombor akaun 1102 0743 45.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menghulurkan bantuan juga boleh menghubungi 3rd Force Pasir Mas di 018-271 8969.
“Semoga usaha kecil daripada masyarakat dapat menjadi jambatan buat Nur Shafiqah Syamimi melangkah ke menara gading, seterusnya membina masa depan yang lebih baik untuk dirinya dan keluarga.
“Satu sumbangan mungkin kecil nilainya, tetapi besar maknanya buat seorang anak yang sedang berusaha mengubah kehidupannya,” katanya. Mana-mana yang ingin menyumbang boleh hantar resit bank ke nombor yang tertera.
IMedikel TV






