Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang lelaki tempatan dipercayai majikan dan tiga etnik Rohinga termasuk seorang wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga Rohingya berusia 18 tahun di Kampung Pok Boh, Kota Bharu, di sini.
Perintah tahanan reman terhadap suspek bermula esok hingga 26 September itu dikeluarkan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.
Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 40-tahun terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita etnik Rohingya, serta seorang lelaki tempatan dipercayai majikan kepada etnik Rohingya terbabit.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, majikan bersama seorang suspek lelaki ditahan berhampiran di Kota Bharu, manakala dua suspek lagi, seorang wanita dan lelaki ditahan di Selising, Pasir Puteh.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam mangsa ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah kongsi berhampiran Tanah Perkuburan Taman Desa Kujid, Kampung Pak Boh, Kota Bharu.
Mangsa, lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun, dipercayai mengalami kecederaan di bahagian leher akibat objek tajam sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Motif pembunuhan masih dalam siasatan.
IMedikel TV






