Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
TEMERLOH: Sebanyak 90 pembedahan katarak dilakukan sempena Karnival Katarak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) 2.0, di sini kelmarin.
Program tiga hari itu adalah subsidi pembedahan katarak bagi warga emas Pahang yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) bermula sejak 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan, berkata karnival pembedahan katarak diadakan selama tiga hari berakhir kelmarin, sambutan diterima begitu menggalakkan.
Menurutnya, sebanyak 90 pembedahan katarak berjaya dilakukan dengan kerjasama dan komitmen padu pasukan pembedahan dan sokongan pasukan kesihatan yang terlibat.

Katanya, inisiatif ini merupakan kerjasama musum kedua antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Unit Perancangan Operasi dan Data Strategik (UPODS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).
“Tahun ini kerajaan Pahang memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta kepada JKM untuk melaksanakan program pembedahan yang memberi manfaat kepada 1,020 warga emas. Inisiatif ini buktik komitmen berterusan kerajaan Pahang dalam memastikan warga emas mendapat akses kepada rawatan katarak yang berkualiti.
“Kemudahan yang disediakan itu membantu mereka yang terbabit dapat kembali melihat seterusnya meningkatkan tahap berdikari dan menikmati kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad.
Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Pahang, Dr Jafanita Jamaludin.
Beliau menambah, setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan Pahang yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat Pahang.
Sabariah berkata, ucapan penghargaan juga kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa, kepakaran dan sokongan dalam menjayakan inisiatif ini yang musim kedua diperkenalkan.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha membela nasib warga emas, pelbagai kemudahan disediakan termasuk rawatan percuma di hospital kerajaan.
IMedikel TV




