Home Hiburan SELEPAS 26 TAHUN, MUSS, JOBRANKO, EDDIE DAN BLACK GEGARKAN PENTAS

SELEPAS 26 TAHUN, MUSS, JOBRANKO, EDDIE DAN BLACK GEGARKAN PENTAS

ALUNAN muzik lagu Biru Mata Hitamku yang meresap ke segenap ruang berjaya membangkitkan gelombang nostalgia hingga meruntun jiwa.

Memetik laporan Harian Metro, Apatah lagi peminat turut menyanyikan lagu ikonik berkenaan dengan penuh semangat yang menggamatkan Mega Star Arena, Kuala Lumpur apabila Muss menyapa, “Selamat Ulang Tahun ke-30 Biru Mata Hitamku”.

Sorakan semakin bergema apabila Muss menghargai peminat kerana terus mengingati karya daripada album berkenaan, yang kekal menjadi antara naskhah paling dekat dengan jiwa peminat rock tempatan.

“Selepas 30 tahun, lagu-lagu dari album ini masih berkumandang di corong radio, masih diminati, diingati dan kekal dalam ingatan peminat muzik rock Malaysia. Terima kasih sekali lagi. Lu orang (anda semua) memang rock,” katanya.

Tiga dekad berlalu sejak album Biru Mata Hitamku diterbitkan, Muss, JoBranko, Eddie dan Black membuktikan usia bukan penghalang untuk menampilkan persembahan penuh bertenaga sempena ulang tahun ke-30 album berkenaan.

Lebih istimewa, konsert yang berlangsung selama dua jam 40 minit itu bukan sekadar meraikan perjalanan tiga dekad album Biru Mata Hitamku sahaja.

Sebaliknya, ia menjadi ruang buat mereka mengenang jasa dan karya dua nama besar yang pernah mewarnai perjalanan muzik mereka iaitu Allahyarham JS Kevin dan Allahyarham Bob Lokman.

Tirai konsert dibuka dengan lagu Penunggu yang dipopularkan Sweet Charity, sekali gus mencetuskan sorakan dan nyanyian penonton yang nyata bersedia untuk dibawa mengimbau kembali kegemilangan era rock 1990-an.

Muss yang juga vokalis kumpulan Barbarik membuka bicara dengan ucapan yang penuh bersemangat sebelum mengimbas kembali pertemuan semula dirinya bersama JoBranko, Eddie dan Black di atas satu pentas selepas kali terakhir mereka beraksi bersama pada 1999.

“Selamat datang ke konsert 30 tahun ulang tahun Biru Mata Hitamku. Lu orang (anda) semua memang sempoi kerana hadir support ‘show’ kami.

“Kali terakhir gua (saya), Jo, Eddie dan Black sepentas pada 1999. 26 tahun berlalu, tapi ‘vibe’ dan jiwa rock masih tetap keras,” kata Muss yang disambut dengan sorakan penonton.

Mengimbau kembali karya daripada album berkenaan, Muss turut memberi penghormatan kepada Allahyarham JS Kevin yang menghasilkan beberapa karya penting dalam perjalanan muzik mereka.

Katanya, salah satu lagu yang dipersembahkan berjudul Satu Titik Yang Kosong, manakala sebuah lagi lagu menampilkan lirik nukilannya sendiri dengan muzik ciptaan Datuk M Nasir yang berjudul Idaman.

Tidak berhenti di situ, Muss sekali lagi mengenang Allahyarham JS Kevin ketika memperkenalkan Makam Kekasih, karya yang disifatkannya mempunyai nuansa sedikit gelap dan mungkin kurang dikenali sebahagian peminat.

“Lagu ini juga dari album Biru Mata Hitamku ciptaan Allahyarham JS Kevin. Lagu ini dia ada ‘mood’ gelap sikit, mungkin ramai yang tak tahu lagu ini, tapi kami suka lagu ini,” kata Muss.

Dalam pada itu, JoBranko turut menghargai sokongan rakan seperjuangan termasuk anggota Barbarik, Ainol dan Rozaimi yang hadir memberikan sokongan.

Dengan bersahaja, JoBranko sempat mengusik peminat mengenai komen di media sosial selepas persembahan terdahulu yang mendakwa dia seolah-olah ‘berhutang’ sesuatu kepada peminat.

“Kalau lu orang (anda semua) cakap gua (saya) ada hutang, malam ni gua (saya) bayar. Gua (saya) bayar sekali dengan ‘bunga’,” katanya yang mengundang gelak penonton sebelum lagu Lupakanlah dipersembahkan.

Sementara Muss berehat di belakang pentas, JoBranko turut mengajak penonton mengambil alih tugas vokal dengan meminta mereka menyanyi dari awal hingga akhir menerusi lagu Sejati.

Suasana kemudian bertukar lebih sentimental apabila Muss mengimbas kenangan empat tahun lalu ketika pertama kali muncul di Konsert Barbarik – Pentas Keras, yang menjadi kali pertama dan terakhir dia menyanyikan lagu Nasib Kita bersama Allahyarham Mael XPDC.

Bagaimanapun, malam itu lagu berkenaan kembali dihidupkan apabila Muss bergandingan dengan Eddie, menjadikan persembahan duet Nasib Kita antara detik yang cukup istimewa buat peminat yang hadir.

Tidak lengkap perjalanan album berkenaan tanpa mengenang sahabat mereka, Allahyarham Bob Lokman yang mempunyai jasa besar termasuk menjadi individu yang bertanggungjawab membawa Jobranko menyertai kumpulan Wings.

Muss berkata, Allahyarham Bob Lokman bukan hanya sahabat, malah penulis yang menghasilkan banyak lirik untuk lagu mereka, dengan kebanyakan tulisannya berpaksikan pengalaman sebenar yang dekat dengan kehidupan manusia.

“Untuk lagu berikutnya, gua (saya) nak berbual sikit mengenai penulis lirik Mohd Hakim Lokman. Kita semua kenal dia sebagai Bob Lokman. Arwah Bob Lokman antara sahabat yang banyak bersama-sama kami. Dia juga yang bertanggungjawab membawa Jo masuk ke dalam kumpulan ini.

“Banyak lirik lagu kami daripada tulisan arwah Bob Lokman. Penulisannya banyak berpaksikan pengalaman sebenar. Mungkin ada di kalangan kita yang ‘relate’ dengan lirik lagu ini.

“Sebab itu setiap lirik yang dia tulis bukan sekadar kata-kata, tapi ada cerita dan rasa yang sampai kepada pendengar,” kata Muss sebelum mempersembahkan lagu Krisis Di Pertengahan Hidup, yang ditulis Allahyarham Bob Lokman manakala muziknya dicipta Mat Razali.

Sebagai penutup, Muss mengajak peminat ‘goyang kepala’ sebelum lagu Keris Tak Bersarung dipersembahkan sebagai ‘hidangan’ terakhir malam itu, sekali gus menutup konsert dengan ledakan tenaga rock yang cukup bertenaga.

Konsert turut menampilkan deretan 19 lagu hits termasuk Enigma, Badan Belut Kepala Ular, Bukan Kerana Matahari, Hati Sulam Lain, 203, Blues Ular Sawa, Watari, Julang Timur Tengah serta Gegar Gunung Gemora.

Lebih menarik, persembahan empat sekawan pada malam itu membuktikan 30 tahun bukan noktah buat Biru Mata Hitamku.

Sebaliknya, ia terus hidup dalam ingatan peminat apabila Muss (vokalis), JoBranko (gitar utama), Eddie (bass) serta Black (dram) kembali bersama dengan aura yang pernah menggegarkan muzik rock tanah air.– Harian Metro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here