Home Buletin Semasa OPERASI DOKTOR UDARA SARAWAK DIGANTUNG SEMENTARA, MEDEVAC KEKAL DITERUSKAN

OPERASI DOKTOR UDARA SARAWAK DIGANTUNG SEMENTARA, MEDEVAC KEKAL DITERUSKAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara atau Flying Doctor Service (FDS) di Sarawak ditangguhkan sementara susulan insiden kemalangan membabitkan sebuah helikopter yang digunakan bagi perkhidmatan itu di Long Lellang, Miri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penangguhan berkenaan bagi membolehkan siasatan serta semakan menyeluruh terhadap mekanisme keselamatan dan operasi dilaksanakan oleh pihak berkaitan.

Bagaimanapun, beliau berkata perkhidmatan Pemindahan Perubatan atau Medevac bagi kes kecemasan akan terus dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pada masa sama, KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka usaha menggunakan aset ATM untuk memastikan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, KKM turut akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak.

“Penilaian itu merangkumi aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.

“Langkah berkenaan bertujuan memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM sedang menilai semula lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS termasuk alternatif pengangkutan serta pendekatan lain yang selamat dan praktikal.

“Usaha itu bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan meskipun operasi FDS ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, KKM memahami kesulitan dan cabaran yang mungkin timbul susulan penangguhan sementara tersebut.

Namun, katanya, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan kementerian, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

“KKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang awam sewajarnya,” jelasnya.

Sebelum ini, insiden kemalangan helikopter FDS di kawasan Long Lellang, Miri mengorbankan lima individu, termasuk petugas kesihatan KKM.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here