Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah mengingatkan warga perhutanan supaya sentiasa mengamalkan budaya berintegriti dalam melaksanakan tugas seharian.
Katanya, tanpa integriti imej jabatan pasti akan tercalar dan individu yang terbabit pasti terdedah dengan tindakan undang-undang sekiranya perbuatan mereka itu dapat dihidu oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, kakitangan jabatan perhutanan perlu sentiasa bekerja dengan seikhlas hati sambil memikul amanah yang disandang sebagai penjawat awam, ingat pada dosa dan hukuman bakal diterima mampu menjadi penghalang pada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

“Pada masa yang sama warga perhutanan perlu bekerja dalam satu pasukan dan sentiasa bertanggungjawab dengan tugas, mereka perlu tampil membuktikan kesungguhan dan semangat kerja untuk jabatan.
“Saya mengingatkan warga perhutanan agar tidak mudah menjadikan media sosial tempat mereka melepaskan perasaan marah terhadap jabatan seperti menyebarkan berita palsu dan membuat kenyataan yang boleh menjejaskan dasar atau keputusan kerajaan.
“Lebih parah lagi apabila bertindak memburukkan organisasi hingga mencetuskan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Perhimpunan Bulanan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Bilangan 4/2026 dan Amanat Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia di BCIC LODGE Indera Mahkota, di sini kelmarin.
Hadir sama Timbalan Pengarah (Operasi) JPNP, Dr Grippin Akeng: Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Harry Yong dan Penolong Pengarah (Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia) JPNP, Zain Mokhsar Ahmad.
Lebih 120 warga JPNP hadir pada program berkenaan yang turut membabitkan sesi pengenalan pegawai tukar masuk dan sesi pengenalan seramai 18 pegawai lantikan baharu.
Mohd Radhi berkata, warga perhutanan perlu terus berusaha menambah ilmu pengetahuan terutama dalam bidang yang berkaitan dengan tugas seharian mereka seperti mengenali spesies pokok balak, penggunaan peralatan terkini dan aktiviti dilapangan.
Katanya, bagi mereka yang ingin muncul sebagai pekerja terbaik dan menerima kenaikan pangkat, jangan melakukan perkara sumbang hingga sanggup memburuk rakan setugas hanya kerana kepentingan sendiri.
“Hari ini cabaran sebagai kakitangan awam semakin bertambah dan berhadapan pelbagai ujian, tersilap langkap akan berhadapan tindakan undang-undang.
“Justeru, kita perlu sentiasa bekerja dalam keadaan selamat dan bebas daripada perkara yang boleh disabitkan dengan pelbagai kesalahan,” katanya yang ingin melihat warga perhutanan sentiasa memberi tumpuan dengan tugas.
IMedikel TV






