Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka terus mempergiatkan penguatkuasaan terhadap motosikal yang diubah suai secara ekstrem menerusi Ops Motosikal di sekitar Bandar Melaka.
Menerusi kenyataan di laman rasmi JPJ, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada aspek pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya motosikal yang didapati melakukan pengubahsuaian komponen sehingga tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan teknikal dan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi, yang berpotensi menjejaskan keselamatan penunggang serta pengguna jalan raya lain.
“Selain itu, JPJ turut mengesan kesalahan melibatkan ketiadaan Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans yang sah,” kata JPJ.
JPJ Negeri Melaka menegaskan pengubahsuaian motosikal bukan alasan untuk mengetepikan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
“Setiap motosikal yang digunakan di jalan raya perlu berada dalam keadaan selamat, mematuhi spesifikasi ditetapkan serta mempunyai dokumen pemanduan dan kenderaan yang sah,” kata JPJ.
JPJ Negeri Melaka turut memberi jaminan akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan terhadap motosikal yang diubah suai secara ekstrem, selain mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan.
IMedikel TV






