Home Luar Negara TIGA MAUT, RAMAI TERPERANGKAP BANGUNAN RUNTUH DI NEW DELHI

TIGA MAUT, RAMAI TERPERANGKAP BANGUNAN RUNTUH DI NEW DELHI

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya tiga orang maut, manakala sembilan cedera selepas sebuah bangunan runtuh di kawasan Satya Niketan, di ibu negara India.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, pihak berkuasa berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan setakat ini belum dapat dipastikan jumlah mangsa yang terperangkap.

Bangunan yang kebanyakannya dihuni pelajar.

Polis dan anggota pasukan tindak balas bencana mengangkat runtuhan dengan berhati-hati menggunakan jentera berat.

Menurut akhbar The Hindu dan beberapa media tempatan lain yang memetik pegawai perkhidmatan bomba tanpa mendedahkan nama, tiga orang maut dalam kejadian itu.

Sembilan mangsa berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan, dengan lima daripadanya dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Bangunan bersebelahan turut dikosongkan kerana dikhuatiri mengalami nasib sama.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan kejadian itu sebagai “menyedihkan” dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang, menurut kenyataan pejabatnya.

Rakaman televisyen menunjukkan anggota penyelamat menarik keluar seorang lelaki muda dari bawah runtuhan, manakala seorang lagi mangsa terperangkap di bawah bongkah konkrit yang runtuh dengan hanya wajahnya kelihatan.

Ketua Menteri Delhi, Rekha Gupta, berkata beliau “amat bimbang” dengan kejadian itu.

“Segala usaha sedang dilakukan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dengan selamat dan memberikan bantuan segera kepada keluarga yang terjejas,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Kawasan Satya Niketan menjadi penempatan ratusan pelajar universiti yang tinggal dalam penginapan persendirian yang sesak sebagai penyewa.

Kejadian bangunan runtuh kerap berlaku di India, manakala struktur binaan haram yang sering menjadi kediaman pekerja migran dan pelajar adalah perkara biasa di bandar besar.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 11 orang maut selepas sebuah bangunan kediaman runtuh di daerah timur laut ibu negara itu. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here