Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: “Jangan cuba bermain dan menangkap apa juga spesies ular berbisa, tersilap langkah buruk akibatnya,” kata Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Zaitul Akma Halim, 41.
Beliau adalah wanita tunggal di negara ini yang diiktiraf sebagai jurulatih atau tenaga pengajar penangkap ular merupakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.
Menurut Zaitul Akma, sifat geli pada ular yang ada pada dirinya sebelum ini, terhakis hanya kerana minat mendalam dan ingin mencuba kerjaya mencabar sebagai tenaga pengajar.
“Untuk bergelar sebagai tenaga pengajar bukanlah sesuatu yang mudah kerana seseorang itu perlu memiliki pengalaman luas menerusi latihan yang telah diikuti.
“Saya banyak belajar teknik menangkap dan menjinakan ular daripada rakan setugas anggota bomba dan penyelamat, PBK II Safiq Mohamad yang juga tenaga pengajar berpengalaman luas melatih anggota dan kakitangan awam serta swasta.
“Sebelum ini saya bertugas sebagai jurulatih anggota baharu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai, namun kerana minat dengan ular saya beralih kepada kejurulatihan menangkap reptilia itu.
“Banyak perkara yang perlu dipelajari sebelum mampu bergelar sebagai jurulatih kerana tersilap langkah buruk akibatnya kerana serangan spesies ular berbisa boleh mengundang maut,” katanya, dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, sekiranya individu itu tidak ada kemahiran khusus jangan sesekali cuba menangkap ular berbisa, kerana akibatnya boleh menyebabkan kecacatan kekal dan lebih parah menyebabkan kematian.
“Pengalaman dan peralatan khas juga perlu ada pada individu yang terbabit dengan aktiviti menangkap dan memindahkan ular berbisa.
“Di negara ini terdapat kira-kira 15 spesies ular berbisa yang biasa ditemui seperti tedung selar, tedung sembur, katam tebu, katam paya, kapak tokong, ular karang dan ular kapak,” katanya.
Katanya, hanya dalam sekelip mata ular berbisa mampu menyerang dengan pantas hingga mengundang maut sekiranya lambat menerima rawatan di hospital tertentu yang mempunyai penawar atau suntikan antivenom.
Menurutnya, individu yang berhadapan dengan ular berbisa terutama tedung selar perlu bertindak pantas melarikan diri kerana reptilia itu boleh menyerang pada bila-bila masa terutama apabila merasakan dirinya terancam dan cedera.
“Ular berbisa boleh menyerang manusia tanpa diduga hingga menyebabkan mangsa gagal bertindak ketika diserang dan dengan sekali patukan boleh membunuh mangsa sekiranya lambat menerima rawatan.
“Banyak contoh mereka yang profesional serta berpengalaman luas menangkap dan menjinakkan ular berbisa berakhir dengan episod amat menyedihkan apabila maut dipatuk reptilia berkenaan. Terdapat kes ular yang dibela menyerang pemiliknya sendiri hingga menyebabkan kematian.
“Sebagai contoh, ular tedung selar mempunyai dua jenis patukan, patukan amaran dan patukan membunuh yang boleh mengundang maut serta kecacatan kekal,” kata yang berpengalaman lebih lima tahun sebagai tenaga pengajar menangkap ular JBPM.
IMedikel TV






