Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Sembilan lelaki warga Bangladesh ditahan selepas gagal mengemukakan pasport atau dokumen perjalanan yang sah dalam pemeriksaan di Jalan Kuala Lah, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kesemua lelaki berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah Perodua Alza berwarna putih kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Bertam kemudian menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan pasport atau dokumen perjalanan yang sah bagi membuktikan kebenaran mereka memasuki dan berada di Malaysia.
“Kesemua individu tersebut kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 55E, Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti status imigresen kesemua individu yang ditahan selain mengesan sebarang penglibatan pihak lain yang berkaitan.
“Polis menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara.
“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan pendatang asing tanpa izin kepada pihak berkuasa,” katanya.
IMedikel TV






