Home Buletin Semasa PENDUDUK KAMPUNG SERIBONG SEMARAK MERDEKA, MAULIDUR RASUL

PENDUDUK KAMPUNG SERIBONG SEMARAK MERDEKA, MAULIDUR RASUL

Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV

KOTA BHARU: Lebih 500 penduduk Kampung Seribong, Pasir Tumboh, di sini, menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Maulidur Rasul menerusi perarakan sejauh kira-kira tiga kilometer, semalam.

Pengerusi Program Sambutan Maulidur Rasul dan Kemerdekaan Kampung Seribong, Sazali Mohd Noor, 62, berkata, program anjuran Persatuan Penduduk Kampung Seribong itu menghimpunkan peserta daripada kanak-kanak hingga warga emas.

Beliau berkata, perarakan bermula dari Simpang Tiga Seribong, melalui kawasan kampung sebelum berakhir di Simpang Empat Seribong, kira-kira 3 kilometer.

“Program ini diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk selain memperingati kelahiran Rasulullah SAW.

“Sambutan tahun ini lebih meriah dengan penglibatan lapan ekor kuda yang turut menyertai perarakan bersama penduduk,” katanya.

Tambahnya, antara tarikan lain ialah penduduk menghias motosikal dan basikal dengan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan terhadap negara.

“Golongan muda dan kanak-kanak turut bersama-sama dalam perarakan ini, sekali gus memberi peluang kepada generasi baharu menghayati semangat kemerdekaan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” katanya.

“Tradisi gotong-royong turut diteruskan apabila penduduk bersama-sama menyembelih seekor kerbau sebelum memasak gulai dalam lima kawah untuk dinikmati orang ramai,” katanya.

Sazali berkata, sambutan yang menggabungkan elemen kemerdekaan dan keagamaan itu turut diserikan dengan pemberian bunga rampai kepada peserta sebagai sebahagian daripada tradisi masyarakat Kelantan.

“Kita akan teruskan program ini setiap tahun supaya semangat patriotik dapat disemai dalam kalangan generasi baharu, selain mengeratkan hubungan sesama penduduk,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here