Home Buletin Semasa LELAKI MAUT MOTOSIKAL REMPUH LORI PARKIR DI FLYOVER WAKAF BHARU

LELAKI MAUT MOTOSIKAL REMPUH LORI PARKIR DI FLYOVER WAKAF BHARU

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah motolori yang diletakkan di bahu jalan akibat kehabisan minyak di Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 35 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju Pengkalan Kubor melalui Flyover Wakaf Bharu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan maut itu daripada Bilik Gerakan IPD Tumpat kira-kira jam 5.30 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang melalui selekoh di Jalan Flyover Wakaf Bharu.

“Mangsa dipercayai terlanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah motolori yang ditinggalkan dalam keadaan parkir di bahu kiri jalan selepas kehabisan minyak.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian sebagai “multiple fatal injury due to motor vehicle accident”.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tumpat di talian 09-725 7222 atau hadir ke Pejabat Trafik IPD Tumpat.

Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here