Home Sukan PSG TUMBANG KEPADA LENS, GAGAL RAIH TROFI KEDUA DALAM LIMA HARI

PSG TUMBANG KEPADA LENS, GAGAL RAIH TROFI KEDUA DALAM LIMA HARI

LENS: Paris Saint Germain (PSG) gagal meraih trofi kedua dalam tempoh lima hari selepas tewas 0-1 kepada Lens dalam aksi Trofi Juara-Juara Perancis, awal pagi tadi. 

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, gol Florian Thauvin pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan Lens yang beraksi dengan 10 pemain selepas Kyllian Antonio dilayangkan kad merah.

Lens tampil sebagai pemenang yang lebih layak dalam perlawanan pertama mereka di bawah kendalian jurulatih baharu, Dino Toppmoeller, sekali gus menambah trofi selepas menjuarai Piala Perancis di bawah pengendali terdahulu, Pierre Sage, pada Mei lalu.

PSG yang menewaskan Aston Villa dalam Piala Super UEFA, Rabu lalu, bergelut untuk mencari rentak di Stade Bollaert-Delelis walaupun Lens kehilangan seorang pemain pada separuh masa pertama.

Skuad kendalian Luis Enrique kini akan mengalihkan fokus kepada permulaan kempen Ligue 1 untuk mempertahankan kejuaraan apabila menerima kunjungan Rennes minggu depan. 

PSG bagaimanapun tidak akan diperkuat pertahanan Portugal, Nuno Mendes yang turut dilayangkan kad merah lewat permainan. 

Lens yang menamatkan saingan Ligue 1 musim lalu sebagai naib juara di belakang PSG layak beraksi dalam Trofi Juara-Juara selepas menjuarai Piala Perancis buat kali pertama hasil kemenangan 3-1 ke atas Nice pada final. 

Enrique menurunkan kesebelasan terkuat dengan hanya melakukan tiga perubahan daripada pasukan yang menewaskan Aston Villa dalam Piala Super, termasuk memberikan Lucas Digne penampilan kedua bersama kelab selepas bekas pertahanan kiri Perancis itu kembali dari Villa.

Namun, Bradley Barcola yang dikaitkan dengan kemungkinan berpindah ke Liverpool tidak berada dalam skuad PSG.

PSG menguasai penguasaan bola pada awal permainan tetapi gagal menghasilkan peluang berbahaya, dengan penjaga gol Lens, Robin Risser hanya perlu melakukan satu lagi aksi mudah untuk menyelamatkan percubaan Khvicha Kvaratskhelia.

Lens kemudian semakin menguasai permainan sebelum membuka jaringan pada minit ke-32 apabila PSG gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, membolehkan Thauvin menyudahkan hantaran lintang Matthieu Udol di tiang jauh.

Bagaimanapun, Lens menerima tamparan besar enam minit sebelum rehat apabila Antonio dibuang padang kerana melakukan terjahan menggunakan tapak kasut ke atas Maghnes Akliouche.

PSG hampir menggunakan kelebihan seorang pemain sebelum rehat, namun percubaan Desire Doue dari sudut sukar hanya terkena palang.

Juara Eropah itu terus bergelut selepas babak kedua bermula, manakala Lens masih mengancam menerusi serangan balas dan Thauvin hampir menggandakan kelebihan menerusi rembatan yang tersasar. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here