Home Buletin Semasa FESTIVAL WARISAN MELAYU GPMS PERKASA BUDAYA DALAM KALANGAN GENERASI MUDA

FESTIVAL WARISAN MELAYU GPMS PERKASA BUDAYA DALAM KALANGAN GENERASI MUDA

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

MACHANG: Festival Kebudayaan Warisan Melayu Madani GPMS 2026 menjadi platform memperkasakan budaya dan warisan bangsa Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda supaya khazanah seni tradisional terus dikenali dan diwarisi.

Festival anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu berlangsung selama dua hari bermula semalam di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Machang, dengan menampilkan pelbagai pengisian berkaitan kebudayaan dan kesenian Melayu.

Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata penganjuran festival berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen pertubuhan itu untuk memastikan generasi muda tidak terputus daripada akar budaya dan warisan bangsa sendiri.

“Festival ini merupakan sebahagian daripada komitmen GPMS untuk memperkasa budaya dan warisan bangsa Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkenalkan seni warisan kepada golongan muda perlu dilakukan menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan mereka, termasuk memberi peluang untuk melihat, mempelajari dan terlibat secara langsung dalam aktiviti kebudayaan.

Menurutnya, antara warisan yang diketengahkan ialah Mak Yong dan Wayang Kulit selain seni serta muzik tradisional yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat Kelantan.

“Kita mahu memastikan warisan seperti Mak Yong yang telah diiktiraf UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, serta Wayang Kulit dan seni tradisional lain terus dikenali, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Festival itu turut menampilkan persembahan Mak Yong dan Wayang Kulit, bengkel seni warisan, pameran kebudayaan, aktiviti belia serta persembahan pentas yang membuka ruang kepada masyarakat terutama golongan muda untuk mendekati khazanah budaya secara lebih santai.

Muhd Fazreen berkata kebudayaan juga mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai aset pelancongan Kelantan, terutama menerusi keunikan seni tradisional yang mempunyai nilai sejarah serta identiti tersendiri.

Beliau berkata penganjuran festival berkenaan turut memperkukuh jaringan antara pertubuhan belia, agensi kerajaan, institusi pendidikan, penggiat seni dan masyarakat setempat dalam usaha memastikan kesinambungan warisan budaya.

Katanya, festival itu turut diadakan bersempena sambutan ulang tahun GPMS ke-78 dan diharapkan menjadi antara usaha berterusan pertubuhan berkenaan dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berpendidikan, malah memahami, menghargai dan berbangga dengan warisan bangsa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here