Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga Pakistan menggunakan logo Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan lampu mata arah pada kenderaan untuk kegunaan peribadi terbongkar selepas dia ditahan dalam tempoh 24 jam susulan penularan sebuah video di media sosial.
Operasi khas yang dijalankan JIM pada jam 4.30 petang, 9 Ogos lalu, turut membawa kepada penahanan 12 warga asing dalam dua serbuan di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak dan sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Kuching, di sini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan digerakkan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya susulan maklumat berkaitan video tular yang memaparkan sebuah kenderaan menggunakan logo JIM dan lampu mata arah.
“Hasil pemeriksaan dan serbuan, seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai individu dalam video tular itu ditahan.
“Pemeriksaan lanjut di premis sama turut menemukan seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di negara ini, selain dua pasport warga Indonesia yang dipercayai milik individu lain dalam simpanan lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, lelaki warga Pakistan itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita warga Indonesia terbabit ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Zakaria berkata, susulan tangkapan itu, pasukan operasi turut mengesan sebuah Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 yang dipercayai digunakan dalam video berkenaan.
“Kenderaan itu ditemukan di sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Kuching dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan pemilik sebenar kenderaan, seorang lelaki warga Pakistan.
“Pemeriksaan di premis sama turut membawa kepada penahanan empat lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India yang bekerja di kedai cuci kenderaan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pemilik Toyota Hilux itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan pekerja warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.
“Dalam pada itu, hasil siasatan awal mendapati video yang tular berkenaan sebenarnya dirakam pada April tahun lalu dan hanya dimuat naik dalam status WhatsApp oleh isteri individu terbabit pada 7 Ogos lalu ketika berada di Indonesia.
“Siasatan terhadap pemilik kenderaan pula mendapati dia mengakui memasang logo JIM dan lampu mata arah pada kenderaan berkenaan sekadar untuk kegunaan peribadi tanpa tujuan rasmi,”katanya.
Menurutnya, pemilik kenderaan itu mendakwa tidak mengetahui perbuatan berkenaan melanggar undang-undang serta memaklumkan logo JIM dan lampu mata arah berkenaan sudah dibuang sebelum video tersebut tular.
Kesemua individu yang ditahan bersama kenderaan terbabit dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej serta integriti agensi itu.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara,” katanya.
IMedikel TV






