Oleh: Nik Nur Zakia ABdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki warga Thailand berusia 33 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 51.5 gram dan 20 biji pil Yaba dalam serbuan Ops Tapis di sebuah bangsal di kebun getah Kampung Serian Batu 11, Bertam, di sini, Rabu lalu.
Serbuan kira-kira jam 9 malam pada 5 Ogos itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, suspek ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di dalam bangsal berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di hadapan suspek dan disaksikan anggota polis menemukan kira-kira 51.5 gram dadah disyaki syabu serta 20 biji pil Yaba seberat kira-kira dua gram.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah terbabit dianggarkan RM2,800.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki kesemua dadah yang dirampas, manakala ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.”katanya.
IMedikel TV






