Home Buletin Semasa KUMPULAN CURI LEMBU TUMPAS, 10 DITAHAN TERMASUK DUA WANITA

KUMPULAN CURI LEMBU TUMPAS, 10 DITAHAN TERMASUK DUA WANITA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan menumpaskan kumpulan curi lembu yang dipercayai aktif di negeri ini selepas menahan 10 individu termasuk dua wanita menerusi beberapa serbuan di Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Terengganu, dalam operasi bermula 17 Jun hingga Rabu lalu.

Dalam operasi itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh berjaya menahan lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 71 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil serbuan berkenaan, polis merampas 32 ekor lembu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan curi berkenaan.

“Turut dirampas lapan telefon bimbit, sebuah Toyota Hilux dan sebuah Perodua Kancil.

“Polis turut menemukan sebuah beg plastik berwarna merah cerah yang mengandungi sebotol kaca bertulisan Llium Xylazil-100 serta satu alat picagari,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, semakan rekod mendapati kesemua 10 suspek mempunyai keseluruhan 55 rekod jenayah dan 24 rekod berkaitan kesalahan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap seorang daripada suspek lelaki turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes curi lembu yang berlaku di Kelantan dengan anggaran kerugian keseluruhan RM96,000,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, kesemua suspek dibawa ke IPD berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Kemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here