Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUALA LIPIS: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) diharap terus mengekalkan prestasi cemerlang sebagai antara penyumbang utama hasil kepada kerajaan negeri menerusi pengurusan sumber hutan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sektor perhutanan merekodkan kutipan hasil lebih RM117 juta tahun lalu menerusi premium, royalti, lesen, caj kerajaan, ses serta pelbagai bayaran hasil hutan termasuk kompaun dan denda kesalahan.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan sumber hutan yang diurus dengan baik mampu memberikan pulangan kepada negeri, selain memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
“Bagi memastikan hasil hutan tidak berlaku ketirisan, kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti pencerobohan hutan simpanan kekal, penerokaan tanah secara haram, pembalakan tanpa kebenaran serta apa juga bentuk jenayah perhutanan.
“Tidak ada pihak yang akan diberikan layanan istimewa atau dikecualikan daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar peraturan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA) 2026 Peringkat Negeri Pahang di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah JPNP, Datuk Zainuddin Jamaluddin dan Pengarah IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Dr Abdul Rahman Abdullah.
Pada majlis berkenaan turut berlangsung pelancaran buku bertajuk Whispers of the Mossy Forest.
“Hasil yang dijana sektor perhutanan turut membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program pembangunan termasuk penyediaan kemudahan awam, memperkasa komuniti luar bandar serta memperkukuh pengurusan hutan secara mampan,”katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga terus menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai panduan dalam memperkukuh tadbir urus sektor perhutanan negeri.
Dalam usaha membanteras kegiatan pencerobohan dan jenayah perhutanan, katanya, penguatkuasaan akan terus dipertingkat menerusi operasi bersepadu bersama agensi berkaitan.
“Penggunaan teknologi seperti dron, Sistem Maklumat Geografi (GIS), imej satelit dan pemantauan digital turut diperkasakan bagi membolehkan aktiviti pencerobohan hutan dikesan dan dibanteras dengan lebih berkesan.
“Hasil daripada tindakan proaktif tersebut, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah mengenakan denda dan hukuman sebanyak RM524,488 terhadap kesalahan hutan yang berlaku tahun lalu yang menjadi sebahagian hasil kepada kerajaan negeri,” katanya.
IMedikel TV






