KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang melepaskan lebih 2,000 anak penyu spesies agar ke perairan negeri ini sejak Januari lalu hasil kejayaan proses penetasan telur di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan berkata, pelepasan anak penyu dilakukan secara berperingkat sepanjang tahun sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan spesies berkenaan yang semakin terancam.
Menurutnya, program itu turut memberi harapan agar penyu yang dilepaskan akan kembali ke pantai sama apabila matang untuk bertelur pada masa hadapan.
“Jumlah anak penyu yang dilepaskan setiap tahun bergantung kepada bilangan telur yang berjaya dikumpulkan dan ditetaskan. Tahun lalu sebanyak 41,480 anak penyu dilepaskan, berbanding 10,365 pada 2022 dan 24,315 pada 2023,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, PKPP Cherating memainkan peranan penting dalam usaha mengumpul telur, menjalankan proses penetasan dan melepaskan anak penyu yang ditemui di sepanjang pesisir Pantai Cherating.
Katanya, selain Pantai Cherating, lokasi pendaratan penyu untuk bertelur turut direkodkan di Kampung Tulai dan Kampung Juara di Pulau Tioman.
Roslan berkata, jabatan akan terus mempergiatkan pelbagai program pemuliharaan dan kesedaran bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan melindungi spesies penyu.
Menurutnya, pelbagai program turut dilaksanakan dengan kerjasama sekolah, agensi kerajaan dan sektor swasta bagi memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk memelihara habitat penyu.
“Antara fokus kempen ialah menggalakkan orang ramai tidak membuang sampah ke laut dan sungai kerana sisa plastik merupakan antara ancaman utama kepada penyu.
“Penyu sering tersalah anggap plastik sebagai ampai-ampai, iaitu makanan semula jadinya, menyebabkan reptilia itu mati selepas menelannya,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, Jabatan Perikanan Pahang merekodkan 10 kematian penyu daripada spesies agar dan lipas yang ditemukan terdampar di pesisir pantai negeri ini.
Tambahnya, jabatan juga akan terus mempromosikan PKPP Cherating sebagai antara produk ekopelancongan utama di Pahang, di samping memperkukuhkan usaha konservasi penyu untuk generasi akan datang.