KUALA LUMPUR: Jaguh boling padang negara, Emma Firyana Saroji berikrar untuk bangkit semula selepas menamatkan kempen Sukan Komanwel Glasgow 2026 tanpa sebarang pingat.
Memetik laporan Harian Metro, Emma gagal menaiki podium selepas tewas 0-2 (5-8, 5-8) kepada wakil Pulau Norfolk, Shea Wilson dalam aksi penentuan pingat gangsa perseorangan wanita, semalam.
Sehari sebelum itu, atlet berusia 40 tahun berkenaan turut tersingkir di separuh akhir selepas tewas kepada wakil Guernsey, Ali Merrien dengan keputusan 0-2 (1-11, 5-8).
Menerusi hantaran di media sosial, Emma memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal memenuhi harapan meskipun sudah memberikan segala kemampuan sepanjang kejohanan.
“Saya memberikan segala yang saya ada. Saya berjuang sepenuh hati. Saya mengharungi setiap cabaran dan memberikan yang terbaik sehingga ke saat terakhir.
“Tetapi hari ini bukan rezeki saya. Sejujurnya, kekalahan ini sangat menyakitkan, lebih daripada apa yang mampu saya ungkapkan dengan kata-kata.
“Saya datang ke sini membawa harapan ramai yang percaya kepada saya. Saya benar-benar mahu membanggakan semua orang dan saya amat memohon maaf kerana tidak dapat melakukannya kali ini,” katanya.
Emma turut mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan yang berjaya menyumbang pingat selain menghargai sokongan jurulatih sepanjang saingan di Glasgow.
Kegagalan itu dianggap sesuatu yang jarang berlaku buat Emma yang sebelum ini antara pemain boling padang negara paling berjaya.
Glasgow 2026 merupakan penampilan keempat Emma di Sukan Komanwel selepas meraih pingat perak acara berpasukan empat wanita pada edisi 2014, sebelum menghadiahkan emas menerusi acara berpasangan bersama Siti Zalina Ahmad pada Gold Coast 2018.
Hadir ke Glasgow selaku juara Piala Dunia perseorangan dan pemain nombor satu dunia wanita, Emma sebelum ini menjadi antara sandaran utama negara untuk memburu pingat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kekalahan itu tidak akan menamatkan perjalanan kariernya.
“Saya akan kembali. Saya akan berjuang lagi. Saya akan bangkit semula. Apabila hari itu tiba, saya berharap anda semua masih bersama saya.
“Sehingga saat itu, teruskan berdoa untuk saya. Dengan hati yang remuk, tetapi dengan keyakinan saya akan bangkit semula. Insya-Allah,” katanya.-HMetro Online-
IMedikel TV






