Home Sukan ‘SUAMI SAYA KINI JUARA SUKAN KOMANWEL’ – ATHIAH

‘SUAMI SAYA KINI JUARA SUKAN KOMANWEL’ – ATHIAH

KUALA LUMPUR: Kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang merangkul emas pertama di pentas Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas penantian selama 16 tahun bukan sahaja membanggakan rakyat Malaysia, malah mengundang luahan penuh emosi daripada isteri beliau, Datin Athiah Ilyana Abd Samat.

Memetik laporan Berita Harian, menerusi hantaran di media sosial, Athiah menyifatkan kejayaan Azizulhasni itu sebagai ganjaran kepada segala pengorbanan, ketabahan dan semangat juang yang dipamerkan suaminya sepanjang bergelar atlet elit negara.

“Suami saya kini Juara Sukan Komanwel. Alhamdulillah. Saya amat bangga dengan awak.

“Ketabahan, pengorbanan dan semangat yang tidak pernah luntur telah memberi inspirasi kepada ramai orang. Inilah penamat terbaik untuk perjalanan awak di Sukan Komanwel,” tulisnya. 

Terdahulu, Azizulhasni menamatkan penantian panjang apabila muncul juara acara keirin di Velodrom Sir Chris Hoy, sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama dalam kariernya di temasya Komanwel. 

Kejayaan itu melengkapkan koleksi pingat legenda berusia 38 tahun itu selepas pernah memenangi gangsa pada edisi Glasgow 2014, selain menebus episod kekecewaan yang menghantuinya sejak membuat penampilan sulung di Delhi 2010. 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh turut menyifatkan kejayaan Azizulhasni sebagai bukti mentaliti juara yang tidak mudah dipatahkan walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang kariernya.

“Tidak ada apa yang mampu menghalang mentaliti seorang juara, bukan faktor usia, pembatalan penyertaan, pembedahan mahupun kekalahan.

“Tahniah Azizulhasni Awang. Saya masih ingat segala komen negatif yang menganggap anda sudah habis. Namun anda bangkit semula, tidak pernah berputus asa dan melakukannya demi diri sendiri.

“Inilah cara anda memimpin anak-anak perempuan anda serta mereka yang menjadikan anda sebagai inspirasi. Anda adalah lambang sebenar semangat Road To Gold,” katanya menerusi media sosial.

Kejayaan Azizulhasni di Glasgow sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai antara atlet terhebat pernah dimiliki negara, selain membuktikan pengalaman, keazaman dan semangat juang masih menjadi aset paling berharga di pentas antarabangsa. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here