Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Dua lelaki warga Indonesia yang didakwa bertindak sebagai transporter laut berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau semalam atas dua pertuduhan mengedar 147.188 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine atau syabu, dua minggu lalu.
Tertuduh, Irfansyah, 30, dan Junaidi, 51, mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 113.776 kg di kedudukan sistem penentududukan sejagat (GPS) Latitud 05 Darjah 07.045 Utara dan Longitud 100 Darjah 14.063 Timur di kawasan perairan Teluk Kumbar dekat sini, kira-kira jam 7.15 malam, pada 17 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengedar 33.412 kg dadah jenis sama di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh.
Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 30 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.
Terdahulu media melaporkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang menerusi Op Taring Gelora berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup keluar ratusan kilogram dadah disyaki syabu bersama 3,497 katrij rokok elektronik (vape) mengandungi cecair dadah bernilai keseluruhan RM6.1 juta ke Indonesia.
Dalam operasi itu, PPM berjaya memintas bot fiber yang dinaiki dua lelaki warga Indonesia kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Rimau selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dilaporkan berkata kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai transporter laut yang membawa bekalan dadah keluar dari negara ini sebelum dihantar ke destinasi di Indonesia.
IMedikel TV






