Home Hiburan ISU ‘MEME’ ZIZAN RAZAK, PERLU ADA BATAS

ISU ‘MEME’ ZIZAN RAZAK, PERLU ADA BATAS

PETALING JAYA: Selepas membangkitkan isu foto dirinya dijadikan bahan jenaka atau ‘meme’ oleh pengguna media sosial, Zizan Razak mendedahkan ada individu tampil memohon maaf melalui mesej peribadi (DM).

Memetik laporan Berita Harian, Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 42, berkata dia membaca setiap permohonan maaf yang dilayankan, namun, belum sempat membalasnya satu persatu.

“Ada hantar DM untuk meminta maaf dan menjelaskan keadaan. Saya baca sahaja mesej itu. Untuk membalasnya, saya masih belum sempat. Baguslah, sekurang-kurangnya mereka meminta maaf.

“Bagi yang tidak minta maaf pula, saya tak tahu kenapa. Tetapi, kalau sekadar untuk hiburan dan dibuat secara berpada-pada, saya tiada masalah. Kalau saya benar-benar marah, sudah lama saya bersuara.

“Kalau perkara itu boleh membuat rakyat Malaysia tersenyum, tidak salah. Cuma apabila ada yang mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri. Bagi saya, itu tidak manis,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran treler filem terbaharu lakonannya, Terbang di Carfe di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai foto lamanya yang kembali tular dan dijadikan bahan jenaka warga maya, Zizan mengakui pada mulanya dia menganggap perkara itu melucukan. Namun, lama-kelamaan penggunaannya menjadi semakin meluas sehingga dimanipulasi dalam pelbagai bentuk.

Pelakon filem Polis Evo itu bagaimanapun berpandangan secara peribadi tidak bersetuju apabila ada pihak menyunting fotonya menjadi wanita dan biarawati kerana berpendapat perkara itu sudah menyentuh batas agama.

“Apabila gambar saya mula diubah menjadi perempuan, saya fikir ada batasnya. Saya bekerja dalam bidang ini dan terbabit dengan televisyen (TV). Jadi, ada perkara yang perlu dijaga.

“Dahulu, saya pernah sarung pakaian perempuan, bukannya saya tidak pernah buat. Tetapi, apabila semakin meningkat usia dan lebih matang, kita diberitahu bahawa perbuatan menyerupai perempuan adalah haram.

“Saya fikir itu sudah cukup jelas. Ada juga yang mengubah gambar saya menjadi biarawati. Biarawati itu bukan agama kita. Jadi, saya rasa perkara itu tidak sesuai kerana sudah menyentuh soal agama Islam,” katanya.

Zizan berkata, syarikat besar sepatutnya tidak mengambil kesempatan menggunakan foto dirinya tanpa kebenaran bagi tujuan komersial. Zizan tidak mahu perkara itu berlarutan sehingga terpaksa dibawa ke mahkamah.

“Saya mula nampak peniaga kecil menggunakan gambar saya. Dalam hal ini, saya bukan kata okay atau tidak okay. Tetapi, saya masih boleh bertolak ansur.

“Namun, apabila syarikat besar pula mula menggunakan gambar saya, tidak mahu nanti jadi macam kes Datuk M. Nasir yang sampai saman dan sebagainya. Bagi saya, itu bukan sesuatu yang sihat.

“Sebab itu, saya fikir, lebih baik saya keluarkan kenyataan. Bukan sebab marah, tetapi saya mahu bertegas dengan cara yang baik,” katanya.

Zizan berkata, dia hanya mahu bertegas dan tidak menyimpan rasa marah terhadap warga maya. Namun, Zizan berpandangan ada perkara yang tidak adil dalam isu berkenaan.

“Saya bukan orang yang ambil kesempatan terhadap orang lain. Kalau sekadar untuk hiburan, okay, tetapi biarlah berpada-pada.

“Kalau hendak guna untuk tujuan perniagaan, marilah kita berbincang dan minta izin terlebih dahulu,” katanya.

Zizan berkata, dia akan mempertimbang mengambil tindakan undang-undang jika isu penggunaan foto dirinya melampaui batas.

“Kalau sudah melampau, barulah saya ambil tindakan. Sekarang saya masih baik hati. Sebenarnya, dari sudut undang-undang, sejak awal lagi saya sudah perasan ada beberapa jenama menggunakan gambar saya.

“Ada juga yang dibuat oleh kawan-kawan sendiri. Sebagai kawan, mereka boleh sahaja minta kebenaran atau izin terlebih dahulu. Tetapi mereka terus muat naik.

“Saya fikir ini agak biadab, tetapi saya cuba berdepan dengan senyuman. Cubalah kita saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Bagaimanapun, Zizan berkata, buat masa ini dia memilih untuk menutup mata terhadap isu berkenaan kerana tidak mahu hubungan dengan rakan atau kenalan menjadi retak.

“Saya masih waras. Kalau betul saya mahu ambil kesempatan melalui saman yang membabitkan wang, kos dan sebagainya, akhirnya, ia hanya akan merosakkan hubungan serta reputasi perniagaan mereka.

“Lebih baik saya ‘baling secara rambang’ (memberi teguran secara terbuka). Jadi, faham-fahamlah,” katanya.

Semalam, Zizan memberi peringatan kepada warga maya susulan penggunaan fotonya yang sejak kebelakangan ini dijadikan kandungan tular di media sosial.

Menerusi hantaran Threads, Zizan dilapor menyebut dia tidak menghalang orang ramai menjadikan dirinya sebagai bahan jenaka, namu, berharap kandungan yang dihasilkan tidak melampaui batas, terutama membabitkan sensitiviti agama atau digunakan bagi tujuan komersial tanpa kebenaran.

Sebelum itu, Zizan mencetuskan fenomena di platform Threads apabila fotonya dijadikan ‘meme’ oleh pengguna media sosial.

Imej pelawak itu disunting secara kreatif menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai gaya sebelum dimuat naik bersama kapsyen ringkas yang mencuit hati sehingga menjadi tular. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here