Home Buletin Semasa OPS VAPE: 22 PREMIS DISERBU, LEBIH 1,400 PERANTI VAPE DIRAMPAS

OPS VAPE: 22 PREMIS DISERBU, LEBIH 1,400 PERANTI VAPE DIRAMPAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebanyak 22 premis menjual vape di seluruh Kelantan diserbu dalam Ops Vape yang dijalankan selama dua hari bermula 27 hingga 28 Julai lalu, dengan seorang wanita tempatan turut ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kelantan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada usaha mengesan dan memeriksa premis menjual vape serta mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penjualan vape mengandungi dadah.

“Sepanjang operasi dijalankan, polis berjaya menahan seorang perempuan Melayu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Turut dirampas sebanyak 1,447 unit peranti vape dan 267.4 liter cecair vape yang tidak mengandungi dadah dengan nilai rampasan dianggarkan RM96,475,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, tindakan saman dan kompaun turut diambil mengikut bidang kuasa KKM dan PBT terhadap premis yang melakukan pelanggaran peraturan.

Menurutnya, JSJN Kontinjen Kelantan akan terus mempergiatkan risikan, pemantauan serta operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras aktiviti pengedaran vape yang mengandungi bahan terlarang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Ibu bapa dan masyarakat juga diseru memainkan peranan penting dalam memantau tingkah laku anak-anak serta tidak memandang ringan ancaman penyalahgunaan vape yang semakin menular ketika ini,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini sentiasa terpelihara daripada ancaman dadah serta bahan terlarang.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here