Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Bunyi dentuman kuat yang memecah kesunyian awal pagi mengubah malam tenang sebuah keluarga menjadi detik mencemaskan apabila rumah mereka didakwa dibaling objek dipercayai mercun stadium oleh individu bertopeng.
Kejadian itu berlaku di Kampung Chepa, Kedai Lalat di sini kira- kira jam 1.15 pagi Isnin lalu.
Mangsa, Nur Shairah Solehah Ahmad Norzaki, 30, berkata, ketika kejadian dia baru pulang bekerja dan sedang membersihkan solekan di tingkat atas rumah sebelum terdengar bunyi dentuman yang disifatkannya luar biasa kuat.
Menurutnya, pada mulanya dia menyangka bunyi itu berpunca daripada premis menjual makanan yang terletak di tingkat bawah bangunan berkenaan.
“Saya dengar bunyi dentuman yang sangat kuat. Dari atas saya nampak seperti cahaya merah dan sangka bunyi itu datang dari kedai di bawah.
“Bunyi macam letupan gas, memang kuat.
“Saya terus mendukung anak saya yang berusia tiga tahun sebelum memanggil ibu kerana bimbang sesuatu berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, pada Selasa.

Nur Shairah berkata, dia kemudian turun ke tingkat bawah bersama ahli keluarganya untuk melihat keadaan sebelum membuat pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah.
“Dalam rakaman CCTV itu menunjukkan seorang individu menghampiri kawasan rumah sebelum menyalakan mercun ke arah kediaman kami.
“Namun identiti individu terbabit tidak dapat dikenal pasti,”katanya..
Beliau berkata, seorang saksi yang berada di sebuah premis berhampiran turut memaklumkan melihat sebuah kereta Honda berwarna perak berada di kawasan itu ketika kejadian, namun nombor pendaftaran kenderaan berkenaan tidak sempat dikenal pasti.
Lebih membimbangkan, katanya, insiden itu meninggalkan trauma kepada seluruh ahli keluarganya yang kini hidup dalam kebimbangan.
“Saya tinggal bersama ibu, adik-beradik dan anak. Sejak kejadian ini kami semua rasa takut. Nak keluar rumah pun rasa tidak selamat, nak pergi kerja pun bimbang.
“Sebelum ini saya tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa. Sebab itu saya terkejut apabila perkara seperti ini berlaku,” katanya.
Nur Shairah berkata laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu berkenaan,”katanya.
IMedikel TV






